♥

Thursday, September 4, 2014

Mutiara Kata Ulama’

Mutiara Kata Imam Hasan Al-Basri
“Aku menasihati kamu bukan bermakna aku adalah yang terbaik daripada kalangan kamu atau orang yang paling soleh, kerana aku juga pernah melakukan kesilapan. Andainya seseorang itu hanya menyampaikan dakwah apabila merasakan dirinya sempurna, maka tidak akan ada pendakwah. Jika itu berlaku akan sedikitlah orang yang memberi peringatan”
Imam Hasan Al-Basri adalah salah seorang daripada Ulama’ terkemuka dari kalangan Tabi’in yang banyak berguru dengan para sahabat Rasulullahi Sollallahu Alaihi Wassalam. Beliau lahir di Madinah pada tahun 30 hijrah iaitu 642masihi, dan dijaga oleh isteri Rasulullah SAW yang bernama Ummu salamah ummahatul mukminin.
Beliau pernah dibawa oleh ummu salamah ke majlis para sahabat, dan Umar Al-khattab Radhiallahu anhu mendoakannya; “Ya Allah, jadikanlah Dia faham agama dan jadikan orang-orang mencintainya”.
Imam Hasan Al-Basri menduduki Iraq iaitu di kota Basrah disanalah berkembangnya ilmu fiqh yang hebat. Kata-katanya sering dijadikan teladan ummat yang terkemudian, diantaranya:
Mutiara Kata Pertama.
‘Wahai anak Adam! Kalian tidak lain hanyalah dari kumpulan hari, setiap satu hari berlalu maka sebahagian dari diri kalian pun ikut pergi’.
Memahami kata-kata ini, kita yakin dan sedar kepentingan masa yang terlalu singkat dan bermakna, samalah satu kata hikmah mutiara dari imam hassan al-banna, kewajiban adalah lebih banyak daripada masa.
Masa samalah seperti hari yang bakal kita lalui esok, lusa, minggu depan dan tahun depan dan seterusnya, mungkin sebelum ini ada yang belum berkahwin, rupa-rupanya sekarang mereka sudah melaluinya, mungkin pada masa ini kita jarang menunaikan ibadah dengan khusyu’ rupa-rupanya nanti kitalah orang yang paling menyesal di saat ajal makin hampir. Muhasabah, muhasabahlah.
Awaslah kita dengan kecurian, terutama kecurian masa!
Tertarik dengan kata-kata dari Ustaz Khairul Anuar Reduan Calon Phd Ilmu Hadis Universiti Wise Jordan iaitu, mahu melihat seorang pemuda yang hebat, lihatlah pada waktu beliau menjaga waktu solatnya, kalau dijaga waktu solatnya, jangan diabaikan bersahabat dengannya, kerana masa kita pasti terjaga.
Solat..solat..solat, teman-teman intabih (ingat)lah! Jagalah solat kita, masa kita sering berubah, namun solat bukan alasan untuk ditinggal, bukan kerana kita punyai 4 musim yang Allah ciptakan, musim panas, salji, luruh, dan bunga..lihat saja contoh dalam satu mazhab yang lain iaitu Imam abu hanifah[mazhab hanafi] begitu menekankan solat berjemaah sehinggakan pandangan ulama’ menyatakan jika hujan turun hendaklah dijamakkan solat yang empat rakaat, iaitulah zuhur dan asar, maghrib dan isya’.
Ambillah kebaikan itu dari satu sudut, mereka tidak mengabaikan waktu berjemaah di Masjid, subhanallah, inilah yang para pemuda wajib contohinya.
Solat berjemaah menyatukan mukmin dan mukminat.
Solat berjemaah menjadikan hati kita lebih khusyu’ untuk menghadap Allah SWT.
Solat berjemaah menguatkan kesatuan Ummat Islam yang digeruni musuh-musuh Islam.
Kehidupan yang baik dillihat pada diri seorang insan yang mampu menjaga Solat Jemaahnya.
Mutiara Kata Kedua.
‘Di antara tanda berpalingnya Allah Subhanahu Wa Ta’ala dari seorang hamba adalah Allah menjadikan kesibukannya pada hal-hal yang tidak bermanfaat baginya.’
Mendalami kata-kata ini, membuatkan perasaan kita menjadi gerun, bahkan kalaulah diambilberat dengan kalam mutiara ini, ummat Islam paling meruncing tahap kesibukannya, mengalahkan raja atau perdana menteri pun ada!
Walhal Allah Subhanahu Wa Ta’ala menetapkan setiap manusia agar sering beribadah kepadaNya, buatlah apa jua kerja yang penting ada nilai Ibadah disisiNya, terutama apa yang dilakukannya itu kerja-kerja perjuangan, dari sekecil-kecil hal hinggalah Islam mencapai kesyumulannya ia adalah Ibadah disisiNya.
Bagi kita penuntut Ilmu Agama Allah, lagilah perlu menyibukkan diri dengan memahami Ilmu-ilmu yang terlalu luas umpama tujuh lautan terbesar dunia ini, bahkan lebih dari itu, tak cukup masa membedah ilmu-ilmu Ulama’ tapi kita yang sibuk dengan urusan yang melalaikan diri. Usah kita menyesal di kemudian hari.
Teruskan berjuang wahai penuntut Ilmu Agama Allah. We can do its!
Mutiara Kata Ketiga.
‘Semoga Allah merahmati seorang hamba yang merenung sejenak sebelum melakukan suatu amalan. Jika niatnya adalah kerana Allah, maka ia melakukannya. Tapi jika niatnya bukan kerana Allah maka ia menghalangnya.’
Tiba-tiba, teringat kejadian di China, Foshan, Wilayah Guandong, berikutan kemalangan tragis yang melibatkan kanak-kanak kecil.
Yang akhirnya meletakkan nilai moral pada ummat manusia, manakala Islam ajarkan Akhlak Mulia, namun tiada bagi agama lainnya. Maka moral juga yang membimbing bukan Islam. Kalau moral baik dilakukan suatu tempat itu maka baiklah masyarakat disitu.
‘yue-yue yang digilis oleh dua kenderaan dipandu manusia yang takutkan undung-undang ciptaan manusia.’
Insiden berkenaan menyaksikan kanak-kanak perempuan yang berusia dua tahun itu dilanggar dua kali oleh dua van berlainan di sebuah jalan raya. Kanak-kanak itu yang berlumuran darah dan terbaring di tepi jalan, tidak langsung dibantu oleh lebih 10 orang yang lalu lalang di jalan yang sempit itu.
Pemandu van putih yang pertama melanggar kanak-kanak itu meninggalkan mangsa kecilnya itu berlumuran darah di tepi jalan. Kira-kira enam minit kemudian, lebih 10 orang lalu di jalan itu dan tidak seorang pun melakukan apa-apa untuk membantunya.
Kanak-kanak itu kemudian digelek oleh sebuah van lagi dan hanya selepas itu seorang wanita tua yang mengutip sampah membantu mangsa. Wanita tua itu memberitahu ibu kanak-kanak itu mengenai nasib malang anaknya.
Sedih melihat moral manusia yang rendah, terkadang lebih hina dari haiwan, sehingga sekarang doktor mengesahkan kanak-kanak itu koma dan ‘mati otak’ dan sedia menerima kematian bila-bila masa.
Ironinya Ummat Islam melakukan sesuatu perkara dengan niatnya, maka dengan niat itulah memandu perbuatannya, Islam memberi jalan supaya ummatnya berfikir sebelum melakukan sesuatu amalan. Hebat aturan Allah.
Mutiara Kata Keempat.
‘Jangan pula kamu merasa tenteram dari bahaya dosa-dosa yang kamu lakukan, kerana sesungguhnya kamu tidak mengetahui apakah Allah mengampuni dosa-dosa kamu tersebut atau tidak.’
Manusia yang hidup melata diatas muka bumi Allah ini, melakukan pelbagai perbuatan, termasuklah makan, minum, perkahwinan, jual-beli, perniagaan, ibadah seharian.
Disamping disana terdapat makhluk Allah yang melakukan kezaliman yang nyata, menindas golongan miskin, merampas harta, merebut kekayaan, rasuah yang berleluasa, pemimpin yang zalim. Dan akhirnya Allah tunjukkan pengakhiran golongan yang zalim itu. Dua pilihan samaada di dunia lagi mendapat kecelakaan waimma di akhirat sama mendapat azab seksaanNya juga.
Firman Allah Ta’ala:
Dan apabila orang-orang yang beriman kepada ayat-ayat keterangan Kami itu datang kepadamu (dengan tujuan hendak bertaubat dari dosa-dosa mereka), maka katakanlah: “Mudah-mudahan kamu beroleh selamat! Tuhan kamu telah menetapkan bagi diriNya untuk memberi rahmat (yang melimpah-limpah): bahawasanya sesiapa di antara kamu yang melakukan kejahatan dengan sebab kejahilannya, kemudian ia bertaubat sesudah itu, dan berusaha memperbaiki (amalannya), maka sesungguhnya Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani”.
[surah al-an'aam ayat 54]
Dengan menangguhkan balasan hukuman, Allah memberi masa kepada mereka untuk memohon ampun dan bertaubat. Walau sebesar manapun dosa yang dilakukan, seseorang itu akan diberi peluang untuk dimaafkan jika dia bertaubat dan memperbaiki diri dan akhlak yang mulia.
Hakikatnya jangan pula kita merasa selesa dengan dosa yang dilakukan, kerana dosa atau maksiat yang dilakukan itu akan kekal selamanya, terutama mereka yang menjadi pemimpin pada ummat, jika dosa yang dilakukan pada rakyatnya maka tanggungannya hattalah selesai hari perhitungan/yaumul hisab di hari akhirat.
Pemimpin juga ditanya Allah di hari akhirat, tentang kepimpinannya pada rakyat dibawah tanggungannya.
Mutiara Kata Kelima.
‘Sesungguhnya Allah telah menetapkan kematian, sakit dan sehat (bagi setiap hamba-Nya). Barang siapa mendustakan takdir maka sesungguhnya ia telah mendustakan al-Qur’an. Dan barang siapa mendustakan al-Qur’an, maka sesungguhnya ia telah mendustakan.’
Allah SWT yang menciptakan dan menentukan semua perkara dan peristiwa; sebagaimana mereka bermula dan bagaimana mereka akan berakhir. BahawasaNya Allah SWT menentukan setiap pergerakkan bintang-bintang di langit, setiap keadaan benda hidup di bumi, cara seseorang akan hidup, apa yang dikatakan oleh seseorang, dan apa yang seseorang itu akan alami dan temui, dalam aturannya.
Maha suci Allah yang menciptakan sesuatu, dalam firmanNya:
Tidak ada sesuatu kesusahan (atau bala bencana) yang ditimpakan di bumi, dan tidak juga yang menimpa diri kamu, melainkan telah sedia ada di dalam Kitab (Lauh Mahfuzh-pengetahuan Kami) sebelum Kami menjadikannya; Sesungguhnya mengadakan yang demikian itu adalah mudah bagi Allah.
[surah al-hadid ayat 22]
Jadi kita mesti sedar dan insaf akan realiti ini, dan seharusnya tidak bertindak seperti orang-orag yang menafikannya. Apabila kita mempunyai kefahaman bahawa hidup ini adalah “mengikut qada’ dan qadar ketentuan Allah” maka nantinya mereka tidak akan merasa kecewa atau takut apabila berlaku apa-apa musibah atau ujian.
Yakinlah kita seperti Rasulullahi Sollallahu Alaihi Wassalam menyakinkan Saidina Abu Bakar As-siddiq radhiallahu anhu di dalam gua tempat mereka bersembunyi ketika peristiwa hijrah ke Madinah.
Mutiara Kata Keenam.
“Wahai anak Adam, juallah duniamu untuk akhiratmu, niscaya kamu untung di keduanya, dan janganlah kamu jual akhiratmu untuk duniamu, kerana kamu akan rugi di keduanya. Persinggahan di dunia ini sebentar, sedangkan tinggal di akhirat sana sangatlah panjang.”
Begitulah mutiara hikmah para Ulama’ terdahulu yang mesti kita simpan menguatkan bekalan kita menuju destinasi akhirat. Wawasan akhirat bukan wawasan 2020 lagi!
Alhamdulillah, semangat pemuda-pemudi yang ada dalam diri kita setakat ini tidak luntur lagi, mudah-mudahan bertambah istiqamah. Namun, satu peringatan buat sahabat-sahabat yang berjuang, ingatlah cabaran semasa yang datang cukup-cukup besar dan perlukan semangat tadhiyyah yang kukuh dan konkrit.
Ingin menegakkan kebenaran di zaman kini cukup-cukup memerlukan kekuatan, ironinya yang mempertahankan kebenaran dicantas habis, walaupun hujah mereka adalah sangat kukuh.
Diriwayatkan oleh Nu’man Bin Bashir Radhiallahu anhu; Sabda Nabi Sollallahu alaihi Wassalam:
“Perumpamaan orang yang melaksanakan ketetapan-ketetapan Allah dengan mereka yang berada di dalamnya adalah seperti satu kaum yang berkongsi sebuah kapal. Sebahagiannya duduk di bahagian atas dan sebahagian yang lain berada di bahagian bawah. Mereka yang duduk di bahagian bawah apabila hendak mengambil air akan melalui mereka yang di bahagian atas kapal. Mereka pun berkata: Apa kata jika kita tebuk sahaja bahagian kita (bawah) untuk mengambil air maka kita tidak akan mengganggu mereka yang berada di bahagian atas. Jika mereka dibiarkan menurut kehendak mereka maka semuanya akan binasa. Sebaliknya jika ditegur dan dibimbing, maka mereka dan kesemua penumpang akan selamat”.(Riwayat al-Bukhari)
Dan akhirnya mereka yang melihat wawasan akhirat akan berjaya lagi di dunia bertambah memperoleh kejayaan di akhirat kelak.
Saya simpulkan kata-kata hikmah mutiara Imam Hasan Al-Basri ini dengan kisah yang bermutu mesti dihadami para pemuda-pemudi medan nafar ini:
Seorang pemuda mendatangi Imam Hasan al-Basri dan mengadukan masalah yang sedang ia hadapi kepadanya. Pemuda tersebut berkata, “Saya telah berusaha untuk bangun berjaga untuk solat malam, akan tetapi sampai saat ini saya masih belum mampu untuk melaksanakannya.” Al-Hasan al-Basri menjawab, “Dosa-dosamu telah menghalangimu untuk melakukannya.”
Demikianlah, beberapa kalimat penuh hikmah, mutiara islam, dari salah seorang Ulama Tabi’in yang patut kita teladani. Semoga bermanfaat semua..

Friday, August 29, 2014

Memori, ku harap kekal hingga hujung masa.

Salam. hmm entah kenapa hari ni mood nak menaip ni ada.(minum Kopi). Hahaha. Saja aku nak post entry pasal kawan-kawan aku. Yang Gambar ni kawan-kawan seangkatan aku masa zaman PMR.muka tak matured lansung.(sekarang sama je hahaha) . So first aku nak bagitahu nama-nama diorang ni dulu lah.

So Yang Tengah-tengah pakai tudung tu( Sorang je pakai tudungkan?) itu lah Guru kelas kitorang yang sangat sangat sangat sangat sangat gila (bukan gila yang sebenar) sporting. Nama diberi PN ZURIAWATI BT MANAF .Beliau mengajar mata pelajaran Geografi. Dan dengan tunjuk ajar beliau la markah Geografi aku meningkat (Bangga). Terima kasih Cikgu Zue!

Next aku nak cerita pula tentang ketua kelas 3 As-Syafie ni. Nama Dia MUHAMMAD ISHAK B. MOHD YAACOB. Gigi dia pernah jadi berita hangat kat sekolah. Dia ni dibantu oleh penolong ketua kelas yang sama je lebih kurang teruk dengan ketua kelas, MOHD KHAIRUL NIZAM BIN ANUAR . 

Yang muka kacak pakai baju kuning tu nama dia MOHD ARIFF BIN ZAHARI. Dia ni terlalu kacak sampai kawan-kawan panggil dia tokek. Sejarah dia masih misteri. Yang pakai baju kuning lagi sorang tu lagi kacak dan bergaya. Nama diberi MUHAMMAD HAKIMI BIN ROSDI. 

Yang Muka Hitam Manis tu nama Dia ADIB AFIFI BIN MANSOR. Sebelah dia Nama MUHAMMAD NUAIM AIDIL BIN NASRAN. Bukan Dari Malaysia (Gurau). Yang sebelah satu lagi tu nama dia AHMAD DANIAL BIN NOR MOHD DARUL. Boleh tahan juga perangai dia. Kawan Baik Aku tu.(Bangga). Yang Sebelah dia tu pula nama punya ahh panjang , MEGAT WAFIQ ILYASA' BIN MEGAT PUTERA NIZAM. Dia ni tak suka makan ikut waktu. Tu yang dapat gastrik tu. Seingat aku la.

Yang baju purple dua orang kat belakang tu pun kawan baik aku! Yang Pakai Spec mata tu Nama dia MOHAMAD AFZAN BIN MOHAMAD SANI. Sedang bergiat aktif dengan sukan angkat badan sendiri.(Main Bar). Yang Lagi sorang ni Nama dia AMIRUL AFWAN BIN MOHD NASARUDIN. Peminat fanatik Anime. Suka masukkan jari dalam hidung.Suka pakai kain pelikat.Suka baca majalah mengarut.Suka tidur dalam kelas.Suka Berangan. kesimpulannya Dia ni contoh terbaik dalam kelas.

So tinggal kami yang Berbaju putih. Dari Kiri (ikut kiri aku yang menaip ni) MOHAMAD AIDIL HAKIM B.ABU HASSAN , TAMRIZUL ASRAF BIN KHAULI , MUHAMMAD BIN RADZI ,MUHAMMAD ZAIMIE BIN ZAINAL ,MUHAMAD NOOR ALIFF BIN SAZALI (Pisang) ,MUHAMMAD HAZRUL IZZUDIN BIN MOHAMMAD (Botak) ,MOHD IZZAT AIMAN B. MOHD ALIAS ,MUHAMMAD HAIKAL BIN AHMAD NIZAM (Zuko).

bawah tu MOHD SHAHBIRIN BIN SHAMSAIMI, AHMAD NABIL BIN MOHD RAMZI ,MUHAMMAD AKMAL BIN AMRAN (Jaja) ,MUHAMMAD AFIQFEDDEN NASRULLAH BIN AZMAN (Aku ) , dan yang akhir sekali MUHAMMAD AMIRUL BIN MUSLAINI (Amok).



Ni ARIFF yang kacak dan peminat Anime AFWAN.Gambar ni masa jamuan akhir tahun kelas 3 As-Syafie.



Gambar masa Form 1. Semua Mentah dan Hingusan.


Ini gambar masa open house Rumah Cikgu Zue. Mood Lepas Trial PMR. happy je. Senyum paksa.


Gambar yang ada harga seni. ARIFF yang tangkap. Bagus. Kelas Tambahan Agama. Pakai Seluar jeans. esok perhimpunan hari isnin kena mention dekat perhimpunan. Saya suka.


Aku tak mahu komen panjang. Cikgu Math. Disebalik wajahnya yang berkaca mata itu tersimpan seribu satu cara untuk menyelesaikan masalah pengiraan mathematics. 


Pemain Catur (Zaharah Nawawi) KOMSAS Ting 4.

hahaha ini masa jamuan akhir tahun kelas form 2.bosan tunggu makanan tak sampai lagi,

main la catur.






 aku rasa sampai sini je la entry ni.Banyak gambar yang aku tak jumpa lagi.Semangat menaip tu pun dah hilang. hahaha 

In Shaa Allah nanti aku sambung cerita 
Assalamualaikum☺

Friday, July 25, 2014

Benar Kata Orang

altBenar kata orang. Apabila cinta terhadap manusia sudah menguasai hati, kita mudah diperangkap oleh tipu daya dan muslihat syaitan untuk menyesatkan manusia. Hati yang dahulunya mengatakan “cinta kerana Allah SWT” perlahan-lahan diulit tipu daya dan muslihat syaitan.
Cinta sebelum kahwin sememangnya mampu mengundang kepada lembah penzinaan. Hati mula lalai terhadap suruhan dan perintah Allah. Perlahan-lahan hati ini ditipu oleh syaitan. Niat pada awalnya ingin membimbing seorang wanita perlahan-lahan hanyut ke lembah penzinaan.
Puas ibu menasihati agar menjaga tingkah laku dan perbuatan apabila keluar bersama teman wanita yang aku merasakan kononnya bakal menjadi menantu kepada ibu. Solat yang pada dahulunya dilakukan pada awal waktu mula berubah kepada penghujung waktu kerana leka dengan berbalas pesanan mesej ringkas. Majlis-majlis agama yang dahulunya dihadiri mula ditinggalkan kerana ingin ber-chatting dengan teman wanita di laman sosial.
Tiada lain yang difikirkan melainkan hanya teman wanita sehinggalah pada suatu tahap hati ini mula sesak dengan desakan nafsu dan dosa. Percintaan yang pada dahulunya indah mula berubah menjadi hambar. Pergaduhan kerap berlaku yang akhirnya membawa kepada perasaan cemburu yang meluap-luap.
Syaitan benar-benar telah berjaya mengambil alih hati ini untuk dikuasai. Tiada lagi ayat-ayat Al-Quran yang dahulu kerap diamalkan. Hidup menjadi tidak tenang. Terasa seperti ada dua aliran di dalam hati. Hati ini semakin sesak dan lemas dengan dosa-dosa yang dilakukan.
Aku tekad untuk memutuskan hunungan yang sudah terjalin selama dua tahun ini kerana Allah Taala. Aku tidak mampu lagi hidup dengan penuh dosa dan noda. Jauh di sudut hati, ini bukanlah cinta yang diredhai Allah. Jauh sudah aku tinggalkan seorang wanita yang pernah hadir dalam diri aku. Aku membawa diri jauh daripada “lembah kemasyhuran” yang pernah aku tempuhi suatu masa dahulu.
Biarlah aku bersendiri daripada hidup penuh dengan noda dan dosa. Tidak susah bagi aku untuk kembali kepada yang Maha Esa. Kini aku melihat kawan-kawan lain “berbahagia” bersama pasangan luar nikah masing-masing tetapi aku merasakan lebih bahagia bersama-sama dengan Allah SWT yang Maha Pengasih dan Maha Penyayang.
Benar kata orang. Allah knows what’s best for us! Ada sebab mengapa Allah menyuruh kita menjauhi zina. Allah SWT berfirman:
“Dan janganlah kamu menghampiri zina, sesungguhnya zina itu adalah satu perbuatan yang keji dan satu jalan yang jahat (yang membawa kerosakan).”
(Surah al-Israa’, ayat 32)
Wallahu’alam.

Cinta Khaliq VS Cinta ‘Abdun

”Bila CINTAMU kenal ILAHI, jadilah CINTAMU BERSTATUS TINGGI.”- Ustazah Fatimah Syarha.
”Apa-apa yang membawa ke SYURGA, itulah CINTA.”- Hilal Asyraf.
Bila manusia terlalu asyik dibuai dengan keindahan cinta dunia, cinta manusia, hukum DIA dicampak entah ke mana-mana. Bila ‘cinta’ yang selama ini dipertahankan bertahun-tahun lamanya, terputus di tengah jalan, mulalah hati rasa kecewa, merana, putus asa. Kadangkala, tidur tak lena. Makan tak rasa apa-apa. Segalanya hambar, kosong, tidak terdaya. Ibaratnya, hidup sudah tiada makna.
KAMU. Iya, kamu. Kamu yang sedang patah hati kerana ‘cinta manusia’.
Aku mahu tanya. Adakah ini ‘cinta’ yang kita agung-agungkan?
Cinta yang membuat kita futur dari Tuhan?
Cinta yang membuat kita berputus asa dari AL-RAHMAN?
TIDAK SAMA SEKALI. Ini bukan cinta. Ini malapetaka.
KAMU. Iya, kamu.
Kamu yang sedang MENZALIMI HATI YANG ALLAH AMANAHKAN UNTUKMU.
Sedarkah bahawa kita sedang menzalimi hati kita dengan cinta manusia?
Aku mengerti. Aku mengerti akan tuntutan fitrah yang satu itu.
Aku juga manusia. Manusia biasa yang punya hati dan perasaan, sama seperti kalian.
Aku bukan robot, yang hatinya tidak pernah wujud.
Kita sama-sama punya ‘rasa cinta’,tapi cara kita MENGURUSKAN CINTA itu berbeda.
Aku tidak kata, aku arif menguruskan fitrah cinta. TIDAK.
Tapi, InsyaAllah. Mari, aku khabarkan apa yang aku tahu tentang CINTA.
Buat sahabatku yang sedang patah hati dan kecewa kerana cinta manusia.
Subhanallah, MashaAllah. Sedarkah kalian sebenarnya Allah mencintai kalian?
Iya. Mungkin kau fikir Allah itu kejam kerna DIA ambil orang yang kau sayang.
Tapi, ayuhlah. Buka mata hatimu, lihat hikmah yang terbentang luas di hadapanmu.
Sedarkah bahawa Allah ingin mengisi hatimu dengan cinta yang tiada belah bahagi pada-NYA?
Subhanallah. MashaAllah. Tabarakallah.
Aku tahu. Perit rasanya ‘cinta’ yang selama ini kau pertahankan, akhirnya putus di tengah jalan.
Setiap apa yang kalian janjikan, kini hanya tinggal angan-angan.
Bertabahlah. Allah itu tidak pernah kejam.
Malah, DIA sebenarnya ingin nyatakan DIA SAYANG AKU, MEREKA DAN KALIAN.
Kamu tahu? Seharusnya yang bertakhta di hati manusia itu cuma DIA dan Rasul-NYA.
Kalau benar dia cintakan kamu, dia tidak akan sesekali mengajakmu
MENDEKATI JALAN NERAKA.
Iya. MENDEKATI JALAN NERAKA.
Sahabat. CINTA itu tidak salah. Tapi, cinta yang bagaimana?
CINTA itu untuk siapa? Milik siapa? Untuk apa? Bagaimana? Kapan tiba?
- CINTA itu milik DIA. Untuk DIA. Untuk dapatkan redha-NYA bukan murka-NYA.
Dengan mengikuti segala apa yang telah ditetapkan-NYA.
Bila-bila masa dan di mana saja kita berada.
Seperti yang aku katakan tadi. Cinta itu tidak salah. Kau mahu bercinta? Silakan. Tiada yang menghalang kalian. Tapi, cinta yang bagaimana? Cinta yang berpaksikan Allah semata. Cinta yang mengharapkan redha-NYA. Cinta yang makin mendekatkan kamu pada-NYA. Yang membuat kamu semakin bersemangat untuk bercinta dan mengenal DIA dan Rasul-NYA. Cinta yang membuat kamu menjadi manusia yang hebat di mata Allah dan seluruh penduduk langit khususnya. Lalu bagaimana untuk mendapatkan cinta sebegitu? Dengan mengisi nama-NYA semata-mata. Kamu tahu? Ada bedanya
‘KERANA ALLAH, AKU MENCINTAIMU’
dengan
‘KERANAMU AKU MENCINTAI ALLAH.’
Apa bedanya? Bedanya pada siapa yang kau aulakan cintanya.
CINTA ALLAH, atau cinta manusia?
MAAF. Aku memang tidak arif bersastera, berbicara soal cinta. Tapi, aku mahu kalian dan aku sendiri membuka mata hati yang selama ini sengaja buta menilai cinta-NYA dan Rasul-NYA. Aku tidak kata menyimpan nama orang lain dalam hatimu itu satu dosa. TIDAK. Allahu’alam. Aku tidak tahu. Sungguh, yang namanya DOSA dan PAHALA itu hanya ALLAH yang berhak menilainya.Tapi, nasihatku untukmu juga untukku, simpan saja ‘dia’ dalam DOA kita, bukan dalam hati kita. Kerana apa? Kerana hati itu bolak-balik sifatnya. Kalau DOA itu, InsyaAllah, sampai kepada-NYA.
Kamu tahu? Bercinta dalam diam itu sungguh indah rasanya.
Kerana apa? Kerana cinta itu tidak disandarkan pada manusia.
Hanya disandarkan pada Allah semata. Bagaimana?
Katanya cendekiawan,
”kalau mahu lihat apa manusia itu penting dalam hidupnya berbanding yang lainnya,
lihatlah berapa kerap dia menyebut namanya dan menyimpan namanya
dalam doa dan sujudmu pada-NYA.”
Benar sekali katanya, tiada dusta!
Kata Nabi, orang yang ‘jatuh cinta’, cenderung untuk selalu mengingati
dan menyebut orang yang dicintainya (man ahabba syai’an katsura dzikruhu).
Kata Nabi, manusia juga bisa ‘diperbudak’ kerana cintanya (man ahabba syai’an fa huwa ‘abduhu).
Persoalannya; APA PANTAS MANUSIA ITU LEBIH DIINGATI BERBANDING PENCIPTA?
Persoalannya; APA PANTAS MANUSIA ITU LEBIH DISEBUT BERBANDING ASMA’-NYA?
Cinta yang mana yang kita sedang dustakan? Cinta yang mana yang kita sudah agungkan?
Tanya; CINTAKAH KITA PADA TUHAN?
Tanya; CINTAKAH KITA KEPADA NABI MUHAMMAD SAW?
Jadi, cinta yang mana harus kita utamakan? Apa pernah kita berdoa khusus meminta cinta Tuhan?
Apa pernah kita berdoa khusus agar kita lebih mencintai Muhammad
solla llahu ‘alaihi wasallam berbanding manusia yang lainnya?
Apa pernah kita berdoa khusus untuk ibu dan ayah kita?
Atau kita hanya berdoa khusus agar DIA menjaga ‘dia’ sebaik-baik jagaan-NYA?
Cinta yang mana yang kita dambakan? Cinta yang sementara atau cinta berpaksi DIA semata?
Cinta yang mana yang kita utamakan? Cinta kepada si ‘dia’ atau cinta kepada-NYA?
Ayuh, muhasabah diri.
Selama ini, kita tidak ‘bercinta.’
Tapi, kita hanya berpura-pura.
Yang namanya ‘cinta’ itu sangat suci.
Usahlah kita nodai dengan racun-racun yang membuat kita jauh dan futur dari RABBI.
KAMU. Iya, kamu.
Tidak apa jika tiada manusia di hati.
Asal ada RABBI.
Aku mahu cintamu berstatus tinggi.
Aku mahu cintamu kenal ILAHI.
Kerana pada hakikatnya, cinta itu punya sebabnya sendiri.
‘Cinta akan lenyap bersama lenyapnya sebab.’
ALLAH itu tidak akan pernah lenyap.
Jadi, niatkan kerana-NYA.
Aku mahu kau mencintai-NYA dan Rasul-NYA lebih daripada segala-galanya.
Aku mahu kau ke syurga, bukan neraka.
Aku mahu kau usaha untuk mujahadah seperti mana aku sedang cuba.
Aku mahu kita sama-sama jadi yang terbaik pada pandangan-NYA.
Aku mahu kita cari DIA. Hanya DIA semata.
Yuk! ISTIGHFAR.
Yuk! BERCINTA DENGAN-NYA!
Yuk! BERCINTA DENGAN RASUL-NYA!
Yuk! BERCINTA DENGAN ILMU-NYA!
Yuk! SALING MENCINTAI KERANA-NYA HINGGA KE SYURGA!
p/s: Tuhan; ALLAH telah membentangkan jalan penuh hikmah; nikah.
Kenapa perlu memilih jalan mudarat, jalan penuh maksiat?
Kalau masih tidak mampu untuk menikah, maka mujahadahlah.
InsyaAllah, ada ganjaran di sisi-NYA.
Hidup ini bukanlah untuk diisi dengan kecintaan terhadap manusia semata.
Fitrah, usah nafi. Tapi jangan makan diri.
Doa tanpa henti. Biar fitrah direstui Ilahi.
Semoga saudaraku yang berada di Gaza, Syria, Mesir dan lainnya baik-baik saja.
Semoga ‘cintaku’ sampai kepada mereka.
Malunya aku pada adik-adikku di sana yang masih kecil.
Tiada masa untuk fikir soal cinta manusia.
Yang mereka tahu adalah;
HIDUP DAN MATIKU HANYA KERANA-NYA.
Kau dengan cinta ‘dia’.
Aku dengan cinta DIA.
Cinta kita berbeda.
Maka, siapa lebih bahagia?

Takdir & Usaha

Usaha kemudian Tawakkal kepada Allah
Terdapat sebilangan orang Islam yang terkeliru tentang konsep takdir (Qada’ dan Qadar), yang mana mereka beranggapan takdir mereka telah ditentukan oleh Allah s.w.t. sejak azali lagi dan dengan itu tidak perlu berusaha.
Hakikatnya, setiap manusia tetap berkewajipan untuk berusaha dan berikhtiar kerana semua perkara ditentukan oleh Allah tetapi manusia diberi pilihan-pilihan untuk mencorakkan hidupnya sendiri.
Nabi Muhammad s.a.w. bertanya kepada seorang Badwi yang meninggalkan untanya tanpa ditambat, “Mengapa kamu tidak menambat unta kamu?”
Orang Badwi itu menjawab, “Aku serahkan takdir dan bertawakkal kepada Allah s.w.t ”
Nabi Muhammad s.a.w. kemudiannya menjawab, “Ikatkan dahulu unta itu, kemudian barulah bertawakkal”.
Sesungguhnya umat Islam perlu percaya pada Qada’ dan Qadar Allah, dan perlu berusaha demi mengelakkan malapetaka atau mengurangkan risiko menanggung kerugian, dalam kes di atas, mengurangkan kebarangkalian hilangnya unta, barulah kemudian bertawakkal kepada Allah dan redha akan ketentuanNya.
Allah s.w.t. berfirman:

إِنَّ ٱللَّهَ لَا يُغَيِّرُ مَا بِقَوۡمٍ حَتَّىٰ يُغَيِّرُواْ مَا بِأَنفُسِهِمۡ
Sesungguhnya Allah tidak akan mengubah nasib/keadaaan sesuatu kaum sehingga mereka sendiri mengubah keadaan yang ada pada diri mereka. (Ar-Ra’d: 11)
Doa

وَقَالَ رَبُّكُمُ ٱدۡعُونِيٓ أَسۡتَجِبۡ لَكُمۡ
Dan Tuhan kamu berfirman: Berdoalah kamu kepadaKu nescaya Aku perkenankan doa permohonan kamu.(Al-Mukmin: 60)
Sabda Rasulullah s.a.w :

(لاَ يَرُدُّ الْقَضَاءَ إِلاَّ الدُّعَاءُ، وَلاَ يُزِيْدُ فِى الْعُمْرِ إِلاَّ الْبِرُّ) -الترمذي-
“Tidak ada yang boleh mengubah takdir Allah kecuali doa.”
Ayat ini dapat difahami lebih mendalam bahawa doa disyariatkan dalam Islam pada dasarnya untuk mengubah nasib seseorang, sebab apalah gunanya seseorang berdoa kalau dia tidak mengharap perubahan daripada Allah. Baik perubahan umur dengan dipanjangkan umurnya, atau mengharap rezeki dengan meminta ditambahkan rezekinya.
Ajal dan Silaturrahim
Firman Allah Ta’ala:

وَلِكُلِّ أُمَّةٍ أَجَلٞۖ فَإِذَا جَآءَ أَجَلُهُمۡ لَا يَسۡتَأۡخِرُونَ سَاعَةٗ وَلَا يَسۡتَقۡدِمُونَ ٣٤
Dan bagi tiap-tiap umat ada ajal (yang telah ditetapkan); maka apabila datang ajal, tidak dapat mereka lambatkan walau sesaatpun dan tidak dapat pula dapat mereka percepatkan. (Al-A’raaf: 34)
Sabda Rasulullah s.a.w. :
Siapa saja yang ingin dimudahkan rezekinya, dan dipanjangkan umurnya, maka hendaklah menyambung silaturrahim. (Riwayat Bukhari)

Kalau dicermati dan direnungkan, perlu diketahui takdir yang diberi kepada setiap insan itu bukan hanya satu takdir, bahkan ada beberapa takdir.
Contohnya, Allah menentukan ajal si fulan untuk hidup selama 60 tahun, di samping itu juga Allah bagi takdir lain untuk hidup sampai 70 tahun lamanya.
Sesuai dengan hadis di atas, kalau si fulan menyambung silaturrahim maka takdir kedua akan dia capai, tapi kalau tidak maka dia akan diberi takdir yang pertama, iaitu akan hidup hanya sampai 60 tahun saja.
Dinyatakan oleh Ibnu Hajar dalam kitab “Fathu al-Baari”, beliau menerangkan bahawa sesungguhnya hadith dan ayat “Ta’jil” boleh digabungkan bersama, iaitu dengan memahaminya kepada dua bahagian.
Pertama: Maksud penambahan adalah Allah menambahkan keberkatan hidup bagi seorang mu’min yang menjalin silaturrahim.
Kedua: Hakikatnya adalah penambahan umur, di mana seseorang yang menjalin dan menyambung silaturrahim akan ditambahkan umurnya secara angka.
Beliaupun memberikan contoh umur, misalnya, umur seseorang ditentukan Allah antara enam puluh tahun dan seratus tahun, takdir pertama (60 tahun) dinamakan sebagai Qadha’ Mubram, sementara takdir kedua (100 tahun) adalah Qadha’ Mu’allaq.

Wabak Penyakit

Dalam satu riwayat juga disebutkan bahwa tatkala Umar bin Khattab r.a. dan rombongannya melakukan perjalanan ke suatu tempat di Syria, beliau tiba-tiba dikhabarkan bahawa tempat yang dituju sedang dilanda penyakit wabak, kemudian Umar r.a. bermusyawarah dengan rombongan untuk mencari jalan keluar, lantas Umar r.a. dan rombongan sepakat untuk membatalkan perjalanan tersebut dan kembali ke Madinah, kemudian salah seorang sahabat yang bernama Abu Ubaidah tiba-tiba memprotes keputusan Umar yang tidak ingin melanjutkan perjalanan.
فَقَالَ أَبُو عُبَيْدَة بْن الْجَرَّاحِ: أَفِرَارًا مِنْ قَدَرِ اللَّهِ؟ فَقَالَ عُمَرُ: لَوْ غَيْرُكَ قَالَهَا يَا أَبَا عُبَيْدَةَ – وَكَانَ عُمَرُ يَكْرَهُ خِلاَفَهُ – نَعَمْ نَفِرُّ مِنْ قَدَرِ اللَّهِ إِلَى قَدَرِ اللَّهِ
Abu Ubaidah bin al-Jarrah berkata “Apakah kita hendak lari menghindari takdir Allah?”
Umar r.a. menjawab: “Benar, kita menghindari suatu takdir Allah dan menuju takdir Allah yang lain”
.
Taqwa dan Tawakkal
Firman Allah Ta’ala:
وَمَن يَتَّقِ ٱللَّهَ يَجۡعَل لَّهُۥ مَخۡرَجٗا ٢ وَيَرۡزُقۡهُ مِنۡ حَيۡثُ لَا يَحۡتَسِبُۚ وَمَن يَتَوَكَّلۡ عَلَى ٱللَّهِ فَهُوَ حَسۡبُهُۥٓۚ إِنَّ ٱللَّهَ بَٰلِغُ أَمۡرِهِۦۚ قَدۡ جَعَلَ ٱللَّهُ لِكُلِّ شَيۡءٖ قَدۡرٗا ٣
Sesiapa yang bertakwa kepada Allah (dengan mengerjakan suruhanNya dan meninggalkan laranganNya), nescaya Allah akan mengadakan baginya jalan keluar (dari segala perkara yang menyusahkannya).
Serta memberinya rezeki dari jalan yang tidak terlintas di hatinya, dan sesiapa yang berserah diri (bertawakkal) kepada Allah, maka Allah cukuplah baginya (untuk menolong dan menyelamatkannya).
Sesungguhnya Allah tetap melakukan segala perkara yang dikehendakiNya. Allah telahpun menentukan kadar dan masa bagi berlakunya tiap-tiap sesuatu. (At-Talaq: 2-3)
Bangkitlah wahai pemuda-pemudi Islam !
Corakkan kehidupan dengan nilai-nilai Islam.
Bersama usaha ke arah kemenangan Islam.

Syoknya Troll dan Sarkasme! Tapi, Apa Kata Syarak ?

BUDAYA TROLL DAN SARKASME MENURUT KACAMATA SYARAK
Sepanjang pemerhatian saya, semenjak akhir-akhir ini fenomena atau budaya Troll di media sosial seperti facebook, twitter dan youtube sangat memberi pengaruh kepada nilai akhlak dan syakhsiah generasi muda. Saya mengambil kesempatan ini untuk berkongsi sedikit kefahaman dan kesan terhadap budaya ini.
APAKAH YANG DIMAKSUDKAN DENGAN TROLL ?
Troll adalah perbuatan seseorang  yang sengaja provokatif (menghasut) atau sarkasme kepada sesuatu berita atau mesej yang mana pernyataannya berbeza dangan pernyataan atau mesej yang asal (off-topic) dengan tujuan untuk menyebabkan gangguan emosi ataupun tekanan terhadap berita tersebut. Istilah ini juga disebut sebagai ‘Trolling’.
Sarkasme pula adalah satu bentuk sindiran dalam ungkapan yang mengejek dan menghina sesuatu berita ataupun peribadi seseorang dengan tujuan untuk menyinggung perasaan sesesorang. Perkataan ini diambil daripada perkataan yunani (sarkasmos) yang membawa maksud mengoyakkan atau merobek daging.
Terdapat juga Troll dalam bentuk komik dan mempunyai beberapa ekspresi yang biasa digunakan. Antaranya :
  1. Derp, Herp, Derpina dan Malvin
  2. Troll Dad
  3. Cereal Guy
  4. Forever Alone Guy
  5. Like A Boss
  6. Poker Face
  7. GTFO
  8. Like A sir
Orang yang melakukan perbuatan demikian, digelar sebagai Troller. Kita boleh menetapkan secara ringkas  ciri-ciri identiti troller ini kepada beberapa kategori :
  1. The Queen Bee
  2. The Puffed Pedant
  3. The Prickly Recluse
  4. The Sock Puppet Master
  5. The Fake Friendly
untuk mengetahui lebih lanjut, sila klik : http://elhasancorner.blogspot.com/2013/06/fenomena-troll-suatu-pandangan-dari.html
Lahirnya internet, melahirkan banyak budaya baru di dunia, terutama dunia maya yang efeknya juga terasa di dalam kehidupan sehari hari
APAKAH KESAN KEPADA MANGSA TROLL ?
Walaupun pada asalnya, perlakuan troll tersebut dengan niat hanya sekadar untuk berjenaka, tetapi serba sedikit ia akan member kesan terhadap orang yang ditroll tersebut. Ia akan menyebabkan mangsa troll tersebut merasa ‘Butthurt’ iaitu satu perasaan dan tindak balas emosi yang negative  terhadap serangan dan penghinaan yang ditujukan terhadapnya. Ataupun dengan kata mudahnya merasa tersinggung dengan perbuatan tersebut.
BAGAIMANA PERBUATAN TROLL DAN SARKASME PADA PANDANGAN SYARAK ?
Setelah kita memahami pengertian istilah, bentuk troll dan sarkasme serta kesannya kepada perbuatan tersebut, mari kita lihat apakah syarak membenarkan perbuatan ini.
Perbuatan berdusta dengan tujuan untuk berjenaka adalah perbuatan yang dilarang oleh islam, manakala mengungkapkan sesuatu ungkapan yang bertujuan menghina dan mengejek peribadi seseorang juga tergolong sebagai Ghibah sepertimana yang disebutkan di dalam sabda Nabi s.a.w.
Rasulullah SAW menjelaskan, tatkala ditanya oleh seorang sahabat, “Wahai Rasulullah, apakah itu ghibah?” Lalu jawab Baginda, “Menyebut sesuatu yang tidak disukai oleh saudaramu di belakangnya!”. Kemudian Baginda ditanya lagi, “Bagaimana sekiranya apa yang disebutkan itu benar?” Jawab Baginda, “Kalau sekiranya apa yang disebutkan itu benar, maka itulah ghibah, tetapi sekiranya perkara itu tidak benar, maka engkau telah melakukan buhtan (pembohongan besar).” (Hadith Riwayat Muslim, Abu Daud dan At-Tarmizi.)
Ghibah maksudnya menyebut keburukan orang lain walaupun benar. Buhtan maksudnya memfitnah dan mengada-adakan keburukan orang. Orang yang mendengar ucapan ghibah juga turut memikul dosa ghibah kecuali dia mengingkari dengan lidah atau menerima dengan hatinya (yakni tidak menyampaikan cerita itu). Bila ada kesempatan, maka lebih utama baginya mengalihkan ghibah tersebut dengan pembicaraan yang lebih manfaat.
Ghibah bukan hanya pada ucapan lidah, tetapi setiap gerakan, isyarat, ungkapan, celaan, tulisan atau gelaran yang berbaur hinaan. Mendengar ghibah dengan sikap kagum dan menyetujui apa yang dikatakannya, hukumnya sama dengan ghibah. Pahala amal kebaikan orang yang melakukan ghibah akan diberikan kepada orang yang menjadi sasaran ghibahnya. Islam mengharamkan dan melarang ghibah kerana ia boleh mengakibatkan putus ukhwah, rosak kasih sayang, timbul permusuhan, tersebar aib dan lahir kehinaan.
Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Seseorang hamba yang membicarakan sesuatu yang belum jelas baginya (hakikat dan akibatnya), akan dilempar ke neraka jahanam sejauh antara timur dan barat.”  (Riwayat Muslim)

Begitu juga orang yang berdusta pada tutur katanya walaupun dengan niat untuk berjenaka ditegah dan akan tergolong dalam golongan munafik
Rasulullah s.a.w bersabda : Celakalah orang yang berbicara lalu mengarang cerita dusta agar orang lain tertawa. Celakalah !
Huraian Hadith: 
i) Kelakar adalah perbuatan, kata-kata dan sebagainya yang dapat menggembirakan atau yang dapat menggelikan hati orang lain. Sinonimnya adalah jenaka, lawak dan gurau senda.
ii) Membuatkan orang lain senang hati adalah termasuk dalam amal kebajikan dan Rasulullah s.a.w juga selalu berjenaka dengan ahli keluarga dan para sahabat baginda.
iii) Namun begitu bergurau mempunyai adab-adab tertentu yang telah digariskan oleh Islam seperti:
a) Tidak menjadikan aspek agama sebagai bahan jenaka seperti mempersendakan sunnah Rasulullah s.a..w .
b) Gurauan tersebut bukan merupakan cacian atau cemuhan seperti memperlekehkan orang lain dengan menyebut kekurangannya.
c) Gurauan itu bukan ghibah (mengumpat) seperti memburukkan seseorang individu dengan niat hendak merendah-rendahkannya.
d) Tidak menjadikan jenaka dan gurauan itu sebagai kebiasaan.
e) Isi jenaka adalah benar dan tidak dibuat-buat.
f) Bersesuaian dengan masa, tempat dan orangnya kerana adalah tidak manis bergurau di waktu seseorang berada dalam kesedihan dan sebagainya.
g) Menjauhi jenaka yang membuatkan orang lain ketawa secara berlebihan (ketawa terbahak-bahak) kerana banyak ketawa akan memadamkan cahaya hati.
iv) Sesungguhnya Rasulullah s.a.w apabila ketawa baginda hanya menampakkan barisan gigi hadapannya sahaja, bukan ketawa yang berdekah-dekah, mengilai-ngilai atau terkekeh-kekeh dengan maksud bahawa selaku seorang muslim kita hendaklah sentiasa menjaga batas kesopanan dalam ertikata yang sepatutnya.
DUSTA ADALAH SIFAT ORANG MUNAFIK
Munafik berasal dari perkataan “nafaqa” yang bermaksud “terbelah dua” iaitu tidak solid dan tidak jujur dengan Islam. Pepatah melayu juga ada menyebut “talam dua muka” atau bermuka-muka yang bermaksud seseorang yang mendapat keuntungan daripada dua belah pihak yang berselisih. Bermuka dua itu memburukkan sesuatu pihak di hadapan pihak lain dan sebaliknya dengan alasan “nak hidup”.
Dalam Islam, Munafik adalah salah satu kategori atau golongan manusia yang diletakkan tarafnya lebih rendah daripada Muslim biasa. Terdapat 30 ciri orang-orang yang dikategorikan sebagai yang dapat disebut munafik melalui petikan hadis Rasulullah s.a.w. Di dalam kehidupan sehari-hari, kita kerap mendengar perkataan “munafik” diucapkan orang.
Di dalam Sahih Bukhari dan Muslim pula, Rasulullah bersabda:
“Tanda orang munafik ada tiga, salah satunya adalah jika berbicara dia dusta.”

BALASAN BAGI ORANG MUNAFIK
Allah (membalas) memperolok-olok dan membiarkan mereka meraba-raba dalam kesesatan mereka (yang melampaui batas itu). (Al-Baqarah:15)
Sesungguhnya orang-orang munafik itu ditempatkan pada tingkatan yang terkebawah sekali dari (lapisan-lapisan dalam) neraka dan engkau tidak sekali-kali akan mendapat sesiapa pun yang boleh menolong mereka. (An-Nisaa:145)
BERHATI-HATILAH DALAM BERMEDIA SOSIAL
Di dalam teknologi media yang serba canggih ini, ternyata memberi kemudahan kepada kita untuk menerima dan mencari sebarang maklumat dengan semuanya hanya di hujung jari sahaja. Ianya juga memberi kesan yang baik dan juga buruk kepada pengguna.
Kesan yang baik bagi seorang pelajar dapat mencari apa saja maklumat untuk menyempurnakan assignment atau tugasan pensyarah di website, blog, Wikipedia dll. Kesan yang buruk pula, ia menyebabkan pelajar menjadi malas merujuk kepada sumber yang asli iaitu kitab di perpustakaan atau mendekati pensyarah untuk meminta pandangan atau bertanya sebarang kemusykilan di dalam sesuatu bab.
Pesanan saya, berhati hatilah dalam menerima sesuatu berita dan menyampaikan kepada orang lain, selidiklah terlebih dahulu kesahihan sesuatu berita itu. Takut-takut kita tergolong dalam golongan munafik dan menyebarkan fitnah terhadap orang lain.
Wallahu A’alam.
Rujukan :
Al-Quranul Karim
Sahih Bukhari
Mukhtasar Minhajul Qosidin
Web Rasmi JAKIM

Ramadan Karim : Jom Audit Diri !

Salam Ramadan Karim buat semua. Sempena bulan Ramadan yang mulia ini, jom kita sama2 audit diri untuk melakukan perubahan diri kita ke arah yang lebih baik! Moga Ramadan kali ini memberi sepenuh penghayatan dan amalan kita pada Allah s.w.t.
Dari Abu Hurairah Radiyallahu anhu, ia berkata bahawasanya Rasulullahi Sollallahu ‘Aalyhi Wa Sallam bersabda :
إِذَا جَاءَ رَمَضَانُ، فُتِّحَتْ أَبْوَابُ الْجَنَّةِ وَغُلِّقَتْ أَبْوَابُ النَّارِ، وَصُفِّدَتِ الشَّيَاطِينُ
“ Apabila datang Bulan Ramadhan, maka pintu-pintu Syurga dibuka, pintu-pintu Neraka ditutup, dan syaitan-syaitan pun diikat “
[ Muttafaq alaih; Shahih Imam Al-Bukhari no.1898),
Sahih Imam Muslim no.1080) ]
Di bawah ini, antara contoh jadual amalan di bulan ramadan yang boleh kita sama-sama praktikkan :-)
checklist ramadhan 2013
*Kalau ada mana yang kurang boleh perbaiki dan tambahkan. “Fastabiqul Khairat” Jom berlumba-lumba ke arah kebaikan. Jangan lepaskan peluang untuk mengutip sebanyak peluang yang ada di bulan barakah ini. Moga setiap amalan kita diterima di sisiNYA. AllahummaAmin….

Thursday, June 5, 2014

Kaya Dunia, Kaya Akhirat

altAlangkah indahnya kehidupan orang kaya. Cakap sahaja apa yang dimahukan, hampir semuanya boleh dapat. Malah, kalau pegi ke mana-mana, ada sahaja yang hendak memberikan layanan ala first class. Jadi kalau ditanya kepada sesiapa – mahukah menjadi papa ataupun muflis? Jawapannya sudah tentu tidak!
Namun, dalam pada ramai yang cuba mengelak daripada menjadi muflis di dunia, ada antaranya pula terlupa untuk mengambil langkah berjaga-jaga agar tidak bankrap di akhirat. Sebab itulah ada yang ghairah mengaut kekayaan dengan bermacam-macam cara sama ada ‘halal’ ataupun ‘haram’. Tetapi di celah-celah itu juga masih 
ada terselit segelintir orang yang begitu ghairah membuat persiapan untuk kaya di akhirat. Cuma sayangnya, mereka papa pula di dunia.
Menurut Prof Madya Hj Mohd Nor Mamat, pensyarah di Pusat Pemikiran & Kefahaman Islam, Universiti Teknologi MARA, Shah Alam, seorang Muslim bukan hanya perlu mengejar kemewahan duniawi, tetapi juga kekayaan akhirat. Ini bersandarkan kepada sepotong ayat yang terdapat dalam kitab al-Quran.
Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Hendaklah tuntut kampung akhirat dengan (kekayaan) yang diberikan Allah kepada engkau dan janganlah engkau lupakan bahagian (nasib) engkau dari dunia, dan berbuat baiklah (kepada manusia) sebagaimana Allah telah berbuat baik kepada engkau dan janganlah engkau berbuat bencana di muka bumi. Sesungguhnya Allah tidak mengasihi orang-orang yang memperbuat bencana itu.” (al-Qashash:77)
Tegas beliau lanjut, penilaian kepada muflis di dunia adalah bersandarkan kepada harta, sementara akhirat pula adalah pahala. Justeru itu, untuk menjadi individu kaya di ‘hari kemudian’ kelak, kekayaan harta dunia itu perlu ditransformasi atau ditukarkan kepada bentuk pahala.
Lakukan transformasi
“Kita tidak boleh mengejar kekayaan hanya untuk di dunia atau hanya untuk di akhirat sahaja. Kita juga tidak boleh menjadi bankrap di dunia semata-mata hendak menjadi kaya di akhirat. Kita kena kedua-duanya sekali. Sebab manusia yang paling baik adalah yang kaya di dunia dan kaya juga di akhirat. Dengan kata lain, dia kaya harta dan kaya pahala,” hurai beliau.
Sambung Prof Madya Hj Mohd Nor, individu kaya beruntung kerana dia boleh menukarkan aset dunianya bagi membolehkan dia membuat pelaburan pahala di akhirat. Hal ini berbeza pula dengan orang yang kurang berada, apalagi seorang fakir. Namun, golongan yang berada harus ingat – kalau hari ini dia kaya di dunia, tidak mustahil dia boleh menjadi muflis di akhirat gara-gara gagal menggunakan hartanya secara berhikmah di jalan Allah. Dan boleh jadi harta itu juga akan menyebabkan dia lengah masuk syurga.
Namun, bagi yang kurang berada pula, walaupun peluang menggandakan pahala untuk akhirat tidak sebanyak orang kaya, dia juga sebenarnya turut beruntung. Ini kerana kata Prof Madya Hj Mohd Nor, kurang harta akan menyebabkan dia kurang berbuat dosa dalam proses pengendalian harta yang ada.
Tidak dapat dinafikan bahawa terdapat pelbagai cara untuk mengaut pahala demi kekayaan di akhirat. Bagi yang berkemampuan dari segi material, sudah tentu membelanjakan harta dalam bentuk yang diredai Allah boleh menukarkan ia kepada pahala. Bagaimanapun, tegas beliau, ada beberapa syarat yang perlu dipatuhi.
“Syarat pertama, benda yang kita belanjakan itu tidak termasuk dalam perkara haram. Kedua, niat mestilah ikhlas kerana Tuhan. Ketiga, kena melakukan dengan sedar. Jika tersilap bagi itu, itu termasuk dalam kategori tidak sedar. Jadi tidaklah mendapat pahala. Dan yang keempat pula tidak menafikan arahan-arahan Tuhan yang lain. Kalau cukup syarat tadi, perbelanjaan harta kita akan bertukar kepada pahala akhirat,” jelasnya sambil menambah semuanya itu turut dikenali sebagai syarat ibadah umum.
Mengulas perihal ada orang yang sanggup menghabiskan keseluruhan hartanya untuk bersedekah, Prof Madya Hj Mohd Nor berkata, itu bukanlah cara terbaik untuk membuat pelaburan di akhirat. “Kalau kita hendak mendapatkan banyak pahala sebagai saham di akhirat, janganlah pula sampai kita melarat, tidak boleh hidup di dunia… Kita kena tengok model Rasulullah SAW,” ujarnya.
>Mengulas lanjut, beliau memetik kisah yang berlaku pada zaman Nabi Muhammad. Baginda pernah bertanya kepada sahabat – siapa yang mahukan pahala di akhirat dengan menginfakkan harta benda mereka? Lantas Abu Bakar bangun dan berkata ya. Rasulullah bertanya berapa banyak? Dan Abu Bakar memberitahu ingin menginfakkan keseluruhan hartanya sehingga yang tinggal hanyalah rasul dan Tuhan.
Mendengar kata-kata Abu Bakar, Nabi Muhammad terus berkata tidak boleh. Kemudian Umar Al-Khattab pula menawarkan diri dengan menginfakkan separuh daripada hartanya. Ini turut ditolak oleh baginda. Sebaliknya Rasulullah menegaskan bahawa hanya satu pertiga sahaja yang boleh diinfakkan. Selebihnya adalah untuk diri dan keluarga.
Bersedekahlah kepada keluarga
Sambung Prof Madya Hj Mohd Nor lanjut, walaupun seseorang itu melakukan sesuatu demi meraih pahala untuk akhirat, dia tidak boleh meletakkan dirinya di dunia dalam jurang kemusnahan. Dengan kata mudah, seorang Muslim tidak boleh sengaja menyusahkan dirinya. Selain itu, beliau turut menegur sikap kebanyakan Muslim yang menganggap sedekah tidak boleh diberikan kepada keluarga. Tegasnya, ini merupakan antara salah faham yang perlu diperbetulkan.
“Bagi sedekah dalam Islam sebenarnya bermula dari kaum kerabat dulu. Maknanya kalau kita tidak beri cukup makan kepada keluarga kita, tetapi kita beri sedekah kepada orang lain walaupun anak yatim, itu sudah kira salah. Kita kena utamakan keluarga, kemudian baru kepada anak-anak yatim. Kalau emak kita miskin, kita kena bagi dulu kepada emak. Sebab sedekah kepada emak itu lebih perlu,” beritahunya.
Selain itu, untuk meningkatkan saham pahala di akhirat, seseorang itu juga perlu berilmu. Ini kerana dengan ilmu tersebut dia akan bijak membuat pilihan disebabkan dia tahu yang man satu harus menjadi keutamaan. “Ulama ada kata, orang berilmu buat benda sikit. Tetapi pahalanya banyak sebab dia tahu mana satu menjadi keutamaan. Dia bijak dalam mengenal peluang pelaburan.”