♥

Thursday, January 16, 2014

Bersedia Menerima Ujian

Awan putih berlangitkan sebiru warna, menambahkan keindahan alam semulajadi. Kecantikan alam yang tiada taranya menyaksikan pelbagai acara pementasan hidup yang beraneka gaya. Maha suci Allah yang menciptakan manusia yang berpasangan begitu juga makhluk Allah yang lain turut memenuhi pelusuk bumi.
Alhamdulillah, kita masih bernyawa menunaikan segala perintahnya, akur dengan ketentuan illahi walaupun penuh dengan pancaroba. Seringkali hidup dicabar dan diuji namun terus berdiri gagah dengan pertolongan Allah SWT.
Mengharungi hari demi hari membuat kita tidak terlepas dari melakukan dosa. Dosa kecil mahupun besar terpendam dilubuk hati dan adakalanya membentuk pelbagai rasa. Pernahkah kita memohon keampunan dariNya? Saya yakin kita sebagai hamba diberikan naluri untuk mengetahui akan dosa-dosa yang dilakukan walaupun tanpa sedar.
Adakah kita insaf?
Sekiranya keinsafan masih menebal pada diri, sebenarnya kita masih lagi menyirami iman kita dengan baja keampunan dari Allah SWT. Jika tidak, jangan dibiarkan dosa-dosa itu menjadi sebati dan kekal selamanya pada hati nurani kerana dari situlah ‘air muka’ kita akan terbentuk dengan perkara-perkara yang sebenarnya datang dari hati kita sendiri.
Oleh itu, jagalah hati dan kasihanilah kerana dia juga makhluk Allah seperti kita. Tugasnya sangat berat untuk mengawal manusia dari melakukan dosa. Kalau hati kita baik, baiklah kita sebagai khalifah Allah dimuka bumi. Jika tidak, hati kita akan melakukan sesuatu yang tidak mungkin dijangka.
Tahap iman dalam diri.
Disaat dan ketika ini, ada dikalangan kita mengatakan bahawa apabila seseorang itu dipenuhi dengan iman dan taqwa pastinya berpegang teguh dengan agamanya. Mana mungkin manusia yang bersifat baharu ini tidak akan diuji walaupun hidupnya diselubungi dengan kemewahan melimpah ruah.
Ada juga menyatakan yang menutup aurat itu hidupnya akan menjadi kebal dengan nafsu kerana badannya dilitupi dan tidak akan mudah melakukan dosa berbanding mereka yang tidak berhijab atau tidak menutup aurat.
Dari pandangan saya, bukan mudah untuk memelihara iman, kerana iman kita ini ibarat daun-daun yang berguguran, apabila ia dipukul angin ia akan berterbangan mengikut arus angin. Sesungguhnya, iman itu tidak bersifat kekal dan sentiasa berubah-ubah.
Ada suatu masa kita rasakan hidup ini sangat dekat dengan Allah SWT dan adakalanya tidak. Itulah manusia yang Allah ciptakan, hatinya sentiasa bermain-main dengan perasaan. Kadangkala dengan iman kita terasa indah dan lama kelamaan iman itu semakin hilang dan menjadikan kita manusia yang alpa kepada Allah SWT. Ini kerana keteguhan kita terhadap iman masih diawang-awangan dan menganggap tiada kepentingan dalam mengekalkan iman di dalam diri.
Setiap saat diuji.
Tidak akan senang manusia itu kalau hidup tidak pernah diuji. Sekiranya sentiasa aman dan bahagia kemungkinan kitaran kehidupan kita ini akan kehilangan sesuatu yang dikatakan “ujian dan dugaan”.
Ya, saat kita diuji adakah kita sedar akan ujian diberikan? Manusia sentiasa leka dengan kesibukan dunia sehingga lupa kepentingan akhirat yang perlu diutamakan. Apa yang mereka ingat adalah nikmat dunia. Sehingga manusia menjadikan dunia itu sebagai tongkat untuk berdiri sedangkan yang menjadikan mereka berdiri dengan gagah itu adalah dari Allah SWT. Biarlah diri kita diuji, Allah mahu membersihkan kita dari segala kekotoran yang menyelubungi dari segenap sudut pada anggota badan kita iaitu hati.
Serah diri padaNya.
Saat menadah tangan pohonlah keampunan kepada Allah, berdoalah dengan penuh pengharapan agar kita diampunkan dari segala dosa-dosa yang lalu. Biarlah air mata sepi menjadi saksi tanda kita takut kepadaNya. Beristighfarlah, kerana banyak hikmah terkandung disebalik makna-makna yang diucapkan.
Yakin dan percaya dengan kewujudan dosa dan pahala, syurga dan neraka. Jangan lalai mahupun leka kerana kematian sentiasa menghampiri.
Beriman kepada Allah SWT adalah satu landasan yang merupakan penjuru disetiap kehidupan. Walaupun iman tidak boleh diwarisi tapi boleh menjadi benteng dalam menghadapi pelbagai keresahan hidup.
Berdoalah kerana dengan doa, Allah akan mendengar segala keluhan kita kerana tuhan tahu apabila kita melakukan dosa kita akan kembali mengadapNya. Perbaikilah diri dengan kesalahan serta kesilapan yang kita lakukan. Perelokkan nawaitu kita untuk kembali bertaubat dan bersujud padaNya.
Sucikan hati dan rawatlah jiwa dengan ayat-ayat Allah iaitu al-Quran yang merupakan surat cinta yang diutuskan kepada hamba-hambanya.
Cinta Allah akan kekal dihati, kewujudanNya dapat dirasai, hadirNya bagaikan merentap sanubari.
“Ya Allah, aku bersedia menerima segala ujian dan dugaan-MU”.

Maulid Nabi: Sunnah Yang Ditinggalkan

Adakah jika benarlah dibatalkan perarakan itu, adakah ia merupakan satu isu besar dari sudut agama serta tanda tidak menghormati baginda Rasul dan Islam?
Seumur hidup saya, saya belum dan tidak pernah menyertai kumpulan perarakan sempena menyambut Maulidur Rasul. Saya tidak berhasrat untuk membicarakan persoalan perbezaan dan perdebatan hukum tentang perarakan seperti itu. Saya kira hal ini setiap tahun akan menjadi polemik dan kerap dijadikan bahan perdebatan yang akhirnya menjadi medan memperlekeh antara satu sama lain atau lebih buruk, menyemai titik kebencian di antara satu sama lain. Saya ada pandangan dan pendirian dalam hal sama ada bid’ah atau tidak sebuah perarakan Maulidur Rasul, Namun cukuplah memadai tulisan-tulisan dari mereka yang telah mengulas panjang lebar.Tulisan ini hanya saya sasarkan untuk kita sama-sama fikir dan fahami tentang keutamaan atau yang ‘sepatutnya’ sahaja.
Sebagaimana kita tahu dan faham, sambutan Maulidur Rasul sepatutnya bertujuan untuk memperingati kelahiran baginda Nabi Muhammad s.a.w atau yang lebih penting adalah perlantikan baginda menjadi Rasulullah. Setakat mengenang tarikh kelahiran semata-mata tanpa mengenengahkan inti risalah, mesej dan perjuangan yang dibawa oleh baginda Nabi adalah suatu kesilapan dalam pendekatan dan memahami keutamaan.
Justeru itu, bagi mereka yang TEGAS berpegang kepada KEHARUSAN menyambut Maulidur Rasul, atas alasan-alasan yang mereka yakini, aktiviti yang paling wajar ketika itu tentunya adalah semua jenis majlis yang mengenengahkan inti perjuangan Nabi seperti mengajak kepada tauhid Allah dan menjauhi syirik, meyakini akhirat dan hidup di atas dunia bersesuaian dengan keyakinan tersebut, mematuhi hukum-hakam dalam bidang hubungan manusia dengan manusia sama ada dari sudut akhlak, nikah kahwin, muamalat kewangan dan hukuman jenayah.
Ruang inilah yang perlu dimaksimumkan ketika menyambut Maulidur Rasul. Itulah tanda kita sedang benar-benar memperingati baginda. Itulah sebuah penghargaan dan syiar yang benar-benar tepat mengenai sasaran sebuah sambutan terhadap baginda Nabi. Kerana itu juga merupakan inti dan kandungan perjuangan Rasulullah yang mulia selama 23 tahun kehidupannya sebagai seorang Rasul dan Nabi terakhir bagi seluruh bangsa manusia.
Jika demikian, bagaimana cara untuk mengengahkan semua itu kepada masyarakat? Sambutan maulidur Rasul sangat mesti mensasarkan objektif mengajar mereka yang belum tahu, mengingat mereka yang lupa, mengukuh pegangan mereka yang telah dan masih ingat serta membetul mereka yang tersasar dari kehidupan yang ditunjuk oleh Rasul mereka.
Kita ingin menyambut Maulidur Rasul dengan mengembalikan ingatan masyarakat kepada tatacara kehidupan yang layak untuk mendapat belas Allah dan syafaat Nabi di akhirat.
Persoalannya, adakah sebuah perarakan dengan pakaian seragam, mengangkat sepanduk puji-pujian, sambil berselawat mampu membawa kita ke arah objektif itu? Jika itulah upacara utamanya, saya kira ia benar-benar sebuah antiklimaks serta TIDAK memberi banyak manfaat dari sudut akhiratnya, di tambah pula lagi di ketika wujudnya pertikaian pada sambutan Maulidur Rasul itu sendiri. Jika begitu, apa yang patut dibuat?
Bagi saya, banyak perkara yang lebih utama, wajar dan tepat untuk dilakukan. seperti program kuliah dan ceramah sama ada di peringkat masjid, surau, sekolah, universiti sememangnya sudah tentu menjadi pilihan utama. Kerana itulah satu cara yang terulung dan paling klasik dalam menyampaikan sebuah mesej untuk mengingat, menegur, meneguh dan membetul.
Memang benar, sebahagian besar perkara di atas memang sudah menjadi amalan, namun apa yang perlu diubah adalah cara dan kaedah itu masih tidak diketengahkan dan dijadikan sebuah klimaks sambutan Maulidur Rasul. Sebaliknya ia hanyalah inisiatif kecil-kecilan pihak-pihak tersebut sahaja, sedang ruang dan peluang yang dipunyai oleh pihak pemerintah sama ada negara atau negeri menunjukkan mereka punyai ruang kuasa yang jauh lebih besar.
Justeru, gunakanlah kuasa itu untuk membesar skala program yang lebih patut diatas, jangan dibazir dengan sebuah perarakan tanpa mesej yang jelas.
Biasanya coverage program-program ceramah terlalu kecil, berbadning sebuah perarakan yang diwajibkan setiap jabatan kerajaan menghantar wakil.
Adalah lebih tepat jika pihak kerajaan pusat menggunakan ruang Televisyen untuk memasuki rumah jutaan rakyat bagi menyampaikan mesej perjuangan Rasulullah, syarikat gergasi GLC dan swasta wajar boleh menyumbangkan sedikit dari keuntungan mereka untuk menaja program-program kesedaran di ruang TV. Itu yang sepatutnya berbanding memberi tajaan kepada peraduan yang entah apa-apa dan konsert penuh maksiat.
KEPELBAGAIAN DAN KREATIVITI
Jika ingin menarik minat pelbagai latarbelakang, muda dan tua, berpendidikan tinggi dan rendah. Saya kira kreativiti diperlukan untuk mempelbagaikan majlis penyampaian mesej dan risalah Rasulullah itu. Konsert Islam seperti Konsert Maulidur Rasul berserta selingan nasihat dan ceramah ringkas mungkin munasabah walau ditentang oleh beberapa pihak yang menolak nasyid secara total. Majlis sebegitu jauh lebih baik berbanding perarakan beserta selawat tanpa sebarang ingatan dan nasihat.
Atau boleh juga kita menunjuk syiar Islam dan kecintaan kepada Rasul, melalui perhimpunan mega seluruh kakitangan kerajaan negeri dan jabatannya di sebuah stadium, tidak perlu berarak, apa yang perlu adalah duduk mendengar dan menghayati mesej-mesej dari sang penceramah berwibawa atau melalui forum, atau boleh beserta selingan nasyid. Majlis penaugerahan tokoh boleh diteruskan. Majlis peringkat kebangsaan boleh disiar secara langsung di televisyen, bagi menambah jangkauan liputan kepada mereka yang lebih suka berada di rumah.
Hari tersebut juga perlu disambut dengan usaha menutup pusat-pusat hiburan dan rancangan hiburan di media yang jelas bertentangan dengan mesej dari kebangkitan Rasulullah.
Itulah tugas seorang pemimpin disemua peringkat, rumahtangga, masyarakat, negeri dan negara. Lagi besar kuasanya, lebih besar tanggungannya di sisi Allah.
Nabi s.a.w bersadba :
ما من أمير يلي أمور المسلمين ثم لا يجهد لهم وينصح لهم إلا لم يدخل معهم الجنة
Ertinya : Tiada seorang ketua yang memimpin orang bawahannya dari kalangan Muslimin kemudian dia tidak berusaha bersungguh dalam untuk kebajikan mereka dan tidak memberi nasihat (kepada Islam), kecuali pemimpin ini tidak memasuki syurga ( Riwayat Muslim)
Atau dalam riwayat lain disebut hukumannya sebagai
فلم يحطها بنصحه لم يجد رائحة الجنة
Ertinya : dan apabila mereka tidak menasihatkan rakyatnya dengan nasihat kebaikan, nescaya diharamkan baginya bauan syurga (amat jauh dari syurga sehingga bauannya pun tidak diperoelhi apatah lagi syurga itu sendiri)
KESIMPULAN
Kesimpulannya, menurut pandangan saya, sambutan Maulidur Rasul melalui perarakan walau ia telah dilaksana turun temurun di Malaysia, ia tidaklah mampu menunaikan hak baginda Rasullullah dan Islam itu sendiri. Ia jelas, tersasar dari objektif utama perjuangan Rasulullah, apa yang sepatutnya lebih ditumpukan dan disalurkan peruntukan besar adalah program meningkat kesedaran terhadap inti perjuangan dan mesej Islam.
Justeru, jikalau ada mana-mana negeri yang membatalkannya sekalipun lalu diganti dengan sebuah acara yang lebih menepati maksud sambutan Maulidur Rasul seperti himpunan ceramah dan sebagainya, ia adalah lebih baik.
Semoga kita semua mampu lebih beringat dan faham mesej perjuangan baginda Rasulullah bersempena sambutan hari lahir baginda.
Sekian

Saturday, January 4, 2014

Tudung Labuh, Tapi…

“Yang penting hati”
“Dosa pahala itu antara kita dengan Tuhan”
“Ramai di luar sana yang pakai tudung labuh.. tapi.. perangai tak senonoh, lebih teruk dari yang bertudung biasa dan free-hair
Mesti semua orang pernah dengar ni.
Perasan tak yang mesejnya sangat sensitif?
Terutama kepada golongan yang bertudung labuh.
Betulkah cara kita menyampaikan dakwah macam ni?
Tak terasa kah macam ada sesuatu yang tak kena?
Kenapa perlu membuat perbandingan yang ketara,
Menjejaskan pemahaman setiap insan yang mendengarnya.
Perlu kah kita mengaitkan yang bertudung labuh,
Dengan yang tak bertudung labuh dan yang tidak bertudung pun?
Perlu?
Pernahkah Nabi ajar kita menyampaikan dakwah sebegini?
Yang wajib, tetap wajib.
Semua manusia adalah manusia biasa.
Baik yang bukan Islam, yang bertudung labuh, yang tak bertudung labuh dan yang tidak bertudung.
Semuanya manusia biasa.
Tak lari dari membuat kesilapan.
Jadi mengapa perlu mengaitkan kesilapan mereka yang paling hampir kepada kebaikan?
Dunia ni seperti sudah terbalik.
Tapi perlu kah kita mendorong ke arah lebih terbalik?
Ia sudahpun diterbalikkan dengan amalan-amalan songsang.
Cuba bayangkan, jika kita ditakdirkan lahir di Bumi Arab?
Yang mana di situ hampir kesemua golongan wanita,
Mengenakan tudung labuh dan berpurdah?
Malah ramai yang berniqab.
Adakah masih akan ada ‘dialog ala berdakwah’ seperti ini?
Sekali lagi perlu diingatkan, yang wajib itu tetap wajib.
Bukankah ‘yang penting hati’?
Jadi kenapa perlu kaitkan yang bertudung labuh,
Tetapi perangai tak senonoh;
Dengan yang tidak bertudung labuh,
Dan ditambah lagi dengan yang free hair?
Tak ternampakkah yang ini bercanggah?
Tidakkah bimbang akan menambahkan lagi,
Bilangan Muslimah yang enggan bertudung labuh?
Tak siapa kata bertudung labuh itu wajib,
Tetapi menutup aurat dengan sempurna itu wajib.
Sekurang-kurangnya, yang bertudung labuh itu,
Berusaha untuk menyempurnakan kewajipan itu.
Atau paling tidak pun, paling hampir kepada sempurna.
Sungguh, ia tak masuk akal jika difikirkan kembali.
Sepatutnya apa yang patut disampaikan,
Tidak berbunyi seolah-olah menghalalkan apa yang ditetapkan haram.
Ye, haram.
Bukan aku yang mengharamkannya, tapi Allah!
Bukan juga Nabi s.a.w.
Tetapi Tuhan!
Seolah-olah.
Cuba tanya pada diri sendiri,
Yang bertudung labuh itu tidak senonoh pada siapa?
Pada manusia kan?
Adakah dia tidak senonoh di hadapan Tuhan?
Wallahua’lam.
Bukan hak kita untuk menilai.
Dan yang tidak labuh dan free hair itu pula,
Pada siapa pula mereka kelihatan senonoh?
Ok, perangai mereka baik, senonoh kan?
Pada siapa? Pada manusia juga kan?
Adakah mereka dipandang senonoh oleh Tuhan?
Wallahua’lam juga.
Tetap bukan hak kita untuk menilai.
Jadi tidakkah kedua-dua mereka itu berhak dikatakan
“Itu antara dia dengan Tuhan”?
Nampak?
Dialog tu sepatutnya sudah lama dibuang.
Kalau dikutip kembali, harus dicampak pula.
Kemudian ditanam dan mereput ditelan tanah.
Sepatutnya.
Tak betulkah?
Kalau tak, jadi mungkin hanya sensitif pada aku yang baharu saja berjinak-jinak dengan tudung labuh.
Memang terasa.
Mendalam sangat.
Betul – yang bertudung labuh tidak semestinya baik.
Tetapi mereka adalah yang paling hampir untuk menjadi lebih baik.
Kenapa tak guna cara yang sepatutnya untuk mendorong ke arah kebaikan?
Yang paling hampir itu sudah tentunya dalam proses perubahan ke arah yang lebih baik.
Dan jika tidak,
“Itu antara dia dengan Tuhan”
“Yang penting hati”
Biar Allah saja yang menilai.
Semoga aku dan semua muslimah di dunia ini istiqomah dalam menyempurnakan setiap kewajipan yang telah ditetapkan.
“Wahai Nabi (Muhammad s.a.w.), suruh isteri-isterimu, anak-anak perempuanmu, dan perempuan-perempuan mukmin (beriman) supaya melabuhkan pakaiannya bagi menutup seluruh tubuhnya (semasa mereka keluar). Cara yang demikian lebih sesuai untuk mereka dikenali (sebagai perempuan baik-baik) maka dengan itu mereka tidak diganggu. Dan (ingatlah) Allah Maha Pengampun lagi Maha Pengasih.” (Surah Al-Ahzab, ayat 59)
Amin.

Sumber:ILUVISLAM