♥

Friday, July 25, 2014

Benar Kata Orang

altBenar kata orang. Apabila cinta terhadap manusia sudah menguasai hati, kita mudah diperangkap oleh tipu daya dan muslihat syaitan untuk menyesatkan manusia. Hati yang dahulunya mengatakan “cinta kerana Allah SWT” perlahan-lahan diulit tipu daya dan muslihat syaitan.
Cinta sebelum kahwin sememangnya mampu mengundang kepada lembah penzinaan. Hati mula lalai terhadap suruhan dan perintah Allah. Perlahan-lahan hati ini ditipu oleh syaitan. Niat pada awalnya ingin membimbing seorang wanita perlahan-lahan hanyut ke lembah penzinaan.
Puas ibu menasihati agar menjaga tingkah laku dan perbuatan apabila keluar bersama teman wanita yang aku merasakan kononnya bakal menjadi menantu kepada ibu. Solat yang pada dahulunya dilakukan pada awal waktu mula berubah kepada penghujung waktu kerana leka dengan berbalas pesanan mesej ringkas. Majlis-majlis agama yang dahulunya dihadiri mula ditinggalkan kerana ingin ber-chatting dengan teman wanita di laman sosial.
Tiada lain yang difikirkan melainkan hanya teman wanita sehinggalah pada suatu tahap hati ini mula sesak dengan desakan nafsu dan dosa. Percintaan yang pada dahulunya indah mula berubah menjadi hambar. Pergaduhan kerap berlaku yang akhirnya membawa kepada perasaan cemburu yang meluap-luap.
Syaitan benar-benar telah berjaya mengambil alih hati ini untuk dikuasai. Tiada lagi ayat-ayat Al-Quran yang dahulu kerap diamalkan. Hidup menjadi tidak tenang. Terasa seperti ada dua aliran di dalam hati. Hati ini semakin sesak dan lemas dengan dosa-dosa yang dilakukan.
Aku tekad untuk memutuskan hunungan yang sudah terjalin selama dua tahun ini kerana Allah Taala. Aku tidak mampu lagi hidup dengan penuh dosa dan noda. Jauh di sudut hati, ini bukanlah cinta yang diredhai Allah. Jauh sudah aku tinggalkan seorang wanita yang pernah hadir dalam diri aku. Aku membawa diri jauh daripada “lembah kemasyhuran” yang pernah aku tempuhi suatu masa dahulu.
Biarlah aku bersendiri daripada hidup penuh dengan noda dan dosa. Tidak susah bagi aku untuk kembali kepada yang Maha Esa. Kini aku melihat kawan-kawan lain “berbahagia” bersama pasangan luar nikah masing-masing tetapi aku merasakan lebih bahagia bersama-sama dengan Allah SWT yang Maha Pengasih dan Maha Penyayang.
Benar kata orang. Allah knows what’s best for us! Ada sebab mengapa Allah menyuruh kita menjauhi zina. Allah SWT berfirman:
“Dan janganlah kamu menghampiri zina, sesungguhnya zina itu adalah satu perbuatan yang keji dan satu jalan yang jahat (yang membawa kerosakan).”
(Surah al-Israa’, ayat 32)
Wallahu’alam.

Cinta Khaliq VS Cinta ‘Abdun

”Bila CINTAMU kenal ILAHI, jadilah CINTAMU BERSTATUS TINGGI.”- Ustazah Fatimah Syarha.
”Apa-apa yang membawa ke SYURGA, itulah CINTA.”- Hilal Asyraf.
Bila manusia terlalu asyik dibuai dengan keindahan cinta dunia, cinta manusia, hukum DIA dicampak entah ke mana-mana. Bila ‘cinta’ yang selama ini dipertahankan bertahun-tahun lamanya, terputus di tengah jalan, mulalah hati rasa kecewa, merana, putus asa. Kadangkala, tidur tak lena. Makan tak rasa apa-apa. Segalanya hambar, kosong, tidak terdaya. Ibaratnya, hidup sudah tiada makna.
KAMU. Iya, kamu. Kamu yang sedang patah hati kerana ‘cinta manusia’.
Aku mahu tanya. Adakah ini ‘cinta’ yang kita agung-agungkan?
Cinta yang membuat kita futur dari Tuhan?
Cinta yang membuat kita berputus asa dari AL-RAHMAN?
TIDAK SAMA SEKALI. Ini bukan cinta. Ini malapetaka.
KAMU. Iya, kamu.
Kamu yang sedang MENZALIMI HATI YANG ALLAH AMANAHKAN UNTUKMU.
Sedarkah bahawa kita sedang menzalimi hati kita dengan cinta manusia?
Aku mengerti. Aku mengerti akan tuntutan fitrah yang satu itu.
Aku juga manusia. Manusia biasa yang punya hati dan perasaan, sama seperti kalian.
Aku bukan robot, yang hatinya tidak pernah wujud.
Kita sama-sama punya ‘rasa cinta’,tapi cara kita MENGURUSKAN CINTA itu berbeda.
Aku tidak kata, aku arif menguruskan fitrah cinta. TIDAK.
Tapi, InsyaAllah. Mari, aku khabarkan apa yang aku tahu tentang CINTA.
Buat sahabatku yang sedang patah hati dan kecewa kerana cinta manusia.
Subhanallah, MashaAllah. Sedarkah kalian sebenarnya Allah mencintai kalian?
Iya. Mungkin kau fikir Allah itu kejam kerna DIA ambil orang yang kau sayang.
Tapi, ayuhlah. Buka mata hatimu, lihat hikmah yang terbentang luas di hadapanmu.
Sedarkah bahawa Allah ingin mengisi hatimu dengan cinta yang tiada belah bahagi pada-NYA?
Subhanallah. MashaAllah. Tabarakallah.
Aku tahu. Perit rasanya ‘cinta’ yang selama ini kau pertahankan, akhirnya putus di tengah jalan.
Setiap apa yang kalian janjikan, kini hanya tinggal angan-angan.
Bertabahlah. Allah itu tidak pernah kejam.
Malah, DIA sebenarnya ingin nyatakan DIA SAYANG AKU, MEREKA DAN KALIAN.
Kamu tahu? Seharusnya yang bertakhta di hati manusia itu cuma DIA dan Rasul-NYA.
Kalau benar dia cintakan kamu, dia tidak akan sesekali mengajakmu
MENDEKATI JALAN NERAKA.
Iya. MENDEKATI JALAN NERAKA.
Sahabat. CINTA itu tidak salah. Tapi, cinta yang bagaimana?
CINTA itu untuk siapa? Milik siapa? Untuk apa? Bagaimana? Kapan tiba?
- CINTA itu milik DIA. Untuk DIA. Untuk dapatkan redha-NYA bukan murka-NYA.
Dengan mengikuti segala apa yang telah ditetapkan-NYA.
Bila-bila masa dan di mana saja kita berada.
Seperti yang aku katakan tadi. Cinta itu tidak salah. Kau mahu bercinta? Silakan. Tiada yang menghalang kalian. Tapi, cinta yang bagaimana? Cinta yang berpaksikan Allah semata. Cinta yang mengharapkan redha-NYA. Cinta yang makin mendekatkan kamu pada-NYA. Yang membuat kamu semakin bersemangat untuk bercinta dan mengenal DIA dan Rasul-NYA. Cinta yang membuat kamu menjadi manusia yang hebat di mata Allah dan seluruh penduduk langit khususnya. Lalu bagaimana untuk mendapatkan cinta sebegitu? Dengan mengisi nama-NYA semata-mata. Kamu tahu? Ada bedanya
‘KERANA ALLAH, AKU MENCINTAIMU’
dengan
‘KERANAMU AKU MENCINTAI ALLAH.’
Apa bedanya? Bedanya pada siapa yang kau aulakan cintanya.
CINTA ALLAH, atau cinta manusia?
MAAF. Aku memang tidak arif bersastera, berbicara soal cinta. Tapi, aku mahu kalian dan aku sendiri membuka mata hati yang selama ini sengaja buta menilai cinta-NYA dan Rasul-NYA. Aku tidak kata menyimpan nama orang lain dalam hatimu itu satu dosa. TIDAK. Allahu’alam. Aku tidak tahu. Sungguh, yang namanya DOSA dan PAHALA itu hanya ALLAH yang berhak menilainya.Tapi, nasihatku untukmu juga untukku, simpan saja ‘dia’ dalam DOA kita, bukan dalam hati kita. Kerana apa? Kerana hati itu bolak-balik sifatnya. Kalau DOA itu, InsyaAllah, sampai kepada-NYA.
Kamu tahu? Bercinta dalam diam itu sungguh indah rasanya.
Kerana apa? Kerana cinta itu tidak disandarkan pada manusia.
Hanya disandarkan pada Allah semata. Bagaimana?
Katanya cendekiawan,
”kalau mahu lihat apa manusia itu penting dalam hidupnya berbanding yang lainnya,
lihatlah berapa kerap dia menyebut namanya dan menyimpan namanya
dalam doa dan sujudmu pada-NYA.”
Benar sekali katanya, tiada dusta!
Kata Nabi, orang yang ‘jatuh cinta’, cenderung untuk selalu mengingati
dan menyebut orang yang dicintainya (man ahabba syai’an katsura dzikruhu).
Kata Nabi, manusia juga bisa ‘diperbudak’ kerana cintanya (man ahabba syai’an fa huwa ‘abduhu).
Persoalannya; APA PANTAS MANUSIA ITU LEBIH DIINGATI BERBANDING PENCIPTA?
Persoalannya; APA PANTAS MANUSIA ITU LEBIH DISEBUT BERBANDING ASMA’-NYA?
Cinta yang mana yang kita sedang dustakan? Cinta yang mana yang kita sudah agungkan?
Tanya; CINTAKAH KITA PADA TUHAN?
Tanya; CINTAKAH KITA KEPADA NABI MUHAMMAD SAW?
Jadi, cinta yang mana harus kita utamakan? Apa pernah kita berdoa khusus meminta cinta Tuhan?
Apa pernah kita berdoa khusus agar kita lebih mencintai Muhammad
solla llahu ‘alaihi wasallam berbanding manusia yang lainnya?
Apa pernah kita berdoa khusus untuk ibu dan ayah kita?
Atau kita hanya berdoa khusus agar DIA menjaga ‘dia’ sebaik-baik jagaan-NYA?
Cinta yang mana yang kita dambakan? Cinta yang sementara atau cinta berpaksi DIA semata?
Cinta yang mana yang kita utamakan? Cinta kepada si ‘dia’ atau cinta kepada-NYA?
Ayuh, muhasabah diri.
Selama ini, kita tidak ‘bercinta.’
Tapi, kita hanya berpura-pura.
Yang namanya ‘cinta’ itu sangat suci.
Usahlah kita nodai dengan racun-racun yang membuat kita jauh dan futur dari RABBI.
KAMU. Iya, kamu.
Tidak apa jika tiada manusia di hati.
Asal ada RABBI.
Aku mahu cintamu berstatus tinggi.
Aku mahu cintamu kenal ILAHI.
Kerana pada hakikatnya, cinta itu punya sebabnya sendiri.
‘Cinta akan lenyap bersama lenyapnya sebab.’
ALLAH itu tidak akan pernah lenyap.
Jadi, niatkan kerana-NYA.
Aku mahu kau mencintai-NYA dan Rasul-NYA lebih daripada segala-galanya.
Aku mahu kau ke syurga, bukan neraka.
Aku mahu kau usaha untuk mujahadah seperti mana aku sedang cuba.
Aku mahu kita sama-sama jadi yang terbaik pada pandangan-NYA.
Aku mahu kita cari DIA. Hanya DIA semata.
Yuk! ISTIGHFAR.
Yuk! BERCINTA DENGAN-NYA!
Yuk! BERCINTA DENGAN RASUL-NYA!
Yuk! BERCINTA DENGAN ILMU-NYA!
Yuk! SALING MENCINTAI KERANA-NYA HINGGA KE SYURGA!
p/s: Tuhan; ALLAH telah membentangkan jalan penuh hikmah; nikah.
Kenapa perlu memilih jalan mudarat, jalan penuh maksiat?
Kalau masih tidak mampu untuk menikah, maka mujahadahlah.
InsyaAllah, ada ganjaran di sisi-NYA.
Hidup ini bukanlah untuk diisi dengan kecintaan terhadap manusia semata.
Fitrah, usah nafi. Tapi jangan makan diri.
Doa tanpa henti. Biar fitrah direstui Ilahi.
Semoga saudaraku yang berada di Gaza, Syria, Mesir dan lainnya baik-baik saja.
Semoga ‘cintaku’ sampai kepada mereka.
Malunya aku pada adik-adikku di sana yang masih kecil.
Tiada masa untuk fikir soal cinta manusia.
Yang mereka tahu adalah;
HIDUP DAN MATIKU HANYA KERANA-NYA.
Kau dengan cinta ‘dia’.
Aku dengan cinta DIA.
Cinta kita berbeda.
Maka, siapa lebih bahagia?

Takdir & Usaha

Usaha kemudian Tawakkal kepada Allah
Terdapat sebilangan orang Islam yang terkeliru tentang konsep takdir (Qada’ dan Qadar), yang mana mereka beranggapan takdir mereka telah ditentukan oleh Allah s.w.t. sejak azali lagi dan dengan itu tidak perlu berusaha.
Hakikatnya, setiap manusia tetap berkewajipan untuk berusaha dan berikhtiar kerana semua perkara ditentukan oleh Allah tetapi manusia diberi pilihan-pilihan untuk mencorakkan hidupnya sendiri.
Nabi Muhammad s.a.w. bertanya kepada seorang Badwi yang meninggalkan untanya tanpa ditambat, “Mengapa kamu tidak menambat unta kamu?”
Orang Badwi itu menjawab, “Aku serahkan takdir dan bertawakkal kepada Allah s.w.t ”
Nabi Muhammad s.a.w. kemudiannya menjawab, “Ikatkan dahulu unta itu, kemudian barulah bertawakkal”.
Sesungguhnya umat Islam perlu percaya pada Qada’ dan Qadar Allah, dan perlu berusaha demi mengelakkan malapetaka atau mengurangkan risiko menanggung kerugian, dalam kes di atas, mengurangkan kebarangkalian hilangnya unta, barulah kemudian bertawakkal kepada Allah dan redha akan ketentuanNya.
Allah s.w.t. berfirman:

إِنَّ ٱللَّهَ لَا يُغَيِّرُ مَا بِقَوۡمٍ حَتَّىٰ يُغَيِّرُواْ مَا بِأَنفُسِهِمۡ
Sesungguhnya Allah tidak akan mengubah nasib/keadaaan sesuatu kaum sehingga mereka sendiri mengubah keadaan yang ada pada diri mereka. (Ar-Ra’d: 11)
Doa

وَقَالَ رَبُّكُمُ ٱدۡعُونِيٓ أَسۡتَجِبۡ لَكُمۡ
Dan Tuhan kamu berfirman: Berdoalah kamu kepadaKu nescaya Aku perkenankan doa permohonan kamu.(Al-Mukmin: 60)
Sabda Rasulullah s.a.w :

(لاَ يَرُدُّ الْقَضَاءَ إِلاَّ الدُّعَاءُ، وَلاَ يُزِيْدُ فِى الْعُمْرِ إِلاَّ الْبِرُّ) -الترمذي-
“Tidak ada yang boleh mengubah takdir Allah kecuali doa.”
Ayat ini dapat difahami lebih mendalam bahawa doa disyariatkan dalam Islam pada dasarnya untuk mengubah nasib seseorang, sebab apalah gunanya seseorang berdoa kalau dia tidak mengharap perubahan daripada Allah. Baik perubahan umur dengan dipanjangkan umurnya, atau mengharap rezeki dengan meminta ditambahkan rezekinya.
Ajal dan Silaturrahim
Firman Allah Ta’ala:

وَلِكُلِّ أُمَّةٍ أَجَلٞۖ فَإِذَا جَآءَ أَجَلُهُمۡ لَا يَسۡتَأۡخِرُونَ سَاعَةٗ وَلَا يَسۡتَقۡدِمُونَ ٣٤
Dan bagi tiap-tiap umat ada ajal (yang telah ditetapkan); maka apabila datang ajal, tidak dapat mereka lambatkan walau sesaatpun dan tidak dapat pula dapat mereka percepatkan. (Al-A’raaf: 34)
Sabda Rasulullah s.a.w. :
Siapa saja yang ingin dimudahkan rezekinya, dan dipanjangkan umurnya, maka hendaklah menyambung silaturrahim. (Riwayat Bukhari)

Kalau dicermati dan direnungkan, perlu diketahui takdir yang diberi kepada setiap insan itu bukan hanya satu takdir, bahkan ada beberapa takdir.
Contohnya, Allah menentukan ajal si fulan untuk hidup selama 60 tahun, di samping itu juga Allah bagi takdir lain untuk hidup sampai 70 tahun lamanya.
Sesuai dengan hadis di atas, kalau si fulan menyambung silaturrahim maka takdir kedua akan dia capai, tapi kalau tidak maka dia akan diberi takdir yang pertama, iaitu akan hidup hanya sampai 60 tahun saja.
Dinyatakan oleh Ibnu Hajar dalam kitab “Fathu al-Baari”, beliau menerangkan bahawa sesungguhnya hadith dan ayat “Ta’jil” boleh digabungkan bersama, iaitu dengan memahaminya kepada dua bahagian.
Pertama: Maksud penambahan adalah Allah menambahkan keberkatan hidup bagi seorang mu’min yang menjalin silaturrahim.
Kedua: Hakikatnya adalah penambahan umur, di mana seseorang yang menjalin dan menyambung silaturrahim akan ditambahkan umurnya secara angka.
Beliaupun memberikan contoh umur, misalnya, umur seseorang ditentukan Allah antara enam puluh tahun dan seratus tahun, takdir pertama (60 tahun) dinamakan sebagai Qadha’ Mubram, sementara takdir kedua (100 tahun) adalah Qadha’ Mu’allaq.

Wabak Penyakit

Dalam satu riwayat juga disebutkan bahwa tatkala Umar bin Khattab r.a. dan rombongannya melakukan perjalanan ke suatu tempat di Syria, beliau tiba-tiba dikhabarkan bahawa tempat yang dituju sedang dilanda penyakit wabak, kemudian Umar r.a. bermusyawarah dengan rombongan untuk mencari jalan keluar, lantas Umar r.a. dan rombongan sepakat untuk membatalkan perjalanan tersebut dan kembali ke Madinah, kemudian salah seorang sahabat yang bernama Abu Ubaidah tiba-tiba memprotes keputusan Umar yang tidak ingin melanjutkan perjalanan.
فَقَالَ أَبُو عُبَيْدَة بْن الْجَرَّاحِ: أَفِرَارًا مِنْ قَدَرِ اللَّهِ؟ فَقَالَ عُمَرُ: لَوْ غَيْرُكَ قَالَهَا يَا أَبَا عُبَيْدَةَ – وَكَانَ عُمَرُ يَكْرَهُ خِلاَفَهُ – نَعَمْ نَفِرُّ مِنْ قَدَرِ اللَّهِ إِلَى قَدَرِ اللَّهِ
Abu Ubaidah bin al-Jarrah berkata “Apakah kita hendak lari menghindari takdir Allah?”
Umar r.a. menjawab: “Benar, kita menghindari suatu takdir Allah dan menuju takdir Allah yang lain”
.
Taqwa dan Tawakkal
Firman Allah Ta’ala:
وَمَن يَتَّقِ ٱللَّهَ يَجۡعَل لَّهُۥ مَخۡرَجٗا ٢ وَيَرۡزُقۡهُ مِنۡ حَيۡثُ لَا يَحۡتَسِبُۚ وَمَن يَتَوَكَّلۡ عَلَى ٱللَّهِ فَهُوَ حَسۡبُهُۥٓۚ إِنَّ ٱللَّهَ بَٰلِغُ أَمۡرِهِۦۚ قَدۡ جَعَلَ ٱللَّهُ لِكُلِّ شَيۡءٖ قَدۡرٗا ٣
Sesiapa yang bertakwa kepada Allah (dengan mengerjakan suruhanNya dan meninggalkan laranganNya), nescaya Allah akan mengadakan baginya jalan keluar (dari segala perkara yang menyusahkannya).
Serta memberinya rezeki dari jalan yang tidak terlintas di hatinya, dan sesiapa yang berserah diri (bertawakkal) kepada Allah, maka Allah cukuplah baginya (untuk menolong dan menyelamatkannya).
Sesungguhnya Allah tetap melakukan segala perkara yang dikehendakiNya. Allah telahpun menentukan kadar dan masa bagi berlakunya tiap-tiap sesuatu. (At-Talaq: 2-3)
Bangkitlah wahai pemuda-pemudi Islam !
Corakkan kehidupan dengan nilai-nilai Islam.
Bersama usaha ke arah kemenangan Islam.

Syoknya Troll dan Sarkasme! Tapi, Apa Kata Syarak ?

BUDAYA TROLL DAN SARKASME MENURUT KACAMATA SYARAK
Sepanjang pemerhatian saya, semenjak akhir-akhir ini fenomena atau budaya Troll di media sosial seperti facebook, twitter dan youtube sangat memberi pengaruh kepada nilai akhlak dan syakhsiah generasi muda. Saya mengambil kesempatan ini untuk berkongsi sedikit kefahaman dan kesan terhadap budaya ini.
APAKAH YANG DIMAKSUDKAN DENGAN TROLL ?
Troll adalah perbuatan seseorang  yang sengaja provokatif (menghasut) atau sarkasme kepada sesuatu berita atau mesej yang mana pernyataannya berbeza dangan pernyataan atau mesej yang asal (off-topic) dengan tujuan untuk menyebabkan gangguan emosi ataupun tekanan terhadap berita tersebut. Istilah ini juga disebut sebagai ‘Trolling’.
Sarkasme pula adalah satu bentuk sindiran dalam ungkapan yang mengejek dan menghina sesuatu berita ataupun peribadi seseorang dengan tujuan untuk menyinggung perasaan sesesorang. Perkataan ini diambil daripada perkataan yunani (sarkasmos) yang membawa maksud mengoyakkan atau merobek daging.
Terdapat juga Troll dalam bentuk komik dan mempunyai beberapa ekspresi yang biasa digunakan. Antaranya :
  1. Derp, Herp, Derpina dan Malvin
  2. Troll Dad
  3. Cereal Guy
  4. Forever Alone Guy
  5. Like A Boss
  6. Poker Face
  7. GTFO
  8. Like A sir
Orang yang melakukan perbuatan demikian, digelar sebagai Troller. Kita boleh menetapkan secara ringkas  ciri-ciri identiti troller ini kepada beberapa kategori :
  1. The Queen Bee
  2. The Puffed Pedant
  3. The Prickly Recluse
  4. The Sock Puppet Master
  5. The Fake Friendly
untuk mengetahui lebih lanjut, sila klik : http://elhasancorner.blogspot.com/2013/06/fenomena-troll-suatu-pandangan-dari.html
Lahirnya internet, melahirkan banyak budaya baru di dunia, terutama dunia maya yang efeknya juga terasa di dalam kehidupan sehari hari
APAKAH KESAN KEPADA MANGSA TROLL ?
Walaupun pada asalnya, perlakuan troll tersebut dengan niat hanya sekadar untuk berjenaka, tetapi serba sedikit ia akan member kesan terhadap orang yang ditroll tersebut. Ia akan menyebabkan mangsa troll tersebut merasa ‘Butthurt’ iaitu satu perasaan dan tindak balas emosi yang negative  terhadap serangan dan penghinaan yang ditujukan terhadapnya. Ataupun dengan kata mudahnya merasa tersinggung dengan perbuatan tersebut.
BAGAIMANA PERBUATAN TROLL DAN SARKASME PADA PANDANGAN SYARAK ?
Setelah kita memahami pengertian istilah, bentuk troll dan sarkasme serta kesannya kepada perbuatan tersebut, mari kita lihat apakah syarak membenarkan perbuatan ini.
Perbuatan berdusta dengan tujuan untuk berjenaka adalah perbuatan yang dilarang oleh islam, manakala mengungkapkan sesuatu ungkapan yang bertujuan menghina dan mengejek peribadi seseorang juga tergolong sebagai Ghibah sepertimana yang disebutkan di dalam sabda Nabi s.a.w.
Rasulullah SAW menjelaskan, tatkala ditanya oleh seorang sahabat, “Wahai Rasulullah, apakah itu ghibah?” Lalu jawab Baginda, “Menyebut sesuatu yang tidak disukai oleh saudaramu di belakangnya!”. Kemudian Baginda ditanya lagi, “Bagaimana sekiranya apa yang disebutkan itu benar?” Jawab Baginda, “Kalau sekiranya apa yang disebutkan itu benar, maka itulah ghibah, tetapi sekiranya perkara itu tidak benar, maka engkau telah melakukan buhtan (pembohongan besar).” (Hadith Riwayat Muslim, Abu Daud dan At-Tarmizi.)
Ghibah maksudnya menyebut keburukan orang lain walaupun benar. Buhtan maksudnya memfitnah dan mengada-adakan keburukan orang. Orang yang mendengar ucapan ghibah juga turut memikul dosa ghibah kecuali dia mengingkari dengan lidah atau menerima dengan hatinya (yakni tidak menyampaikan cerita itu). Bila ada kesempatan, maka lebih utama baginya mengalihkan ghibah tersebut dengan pembicaraan yang lebih manfaat.
Ghibah bukan hanya pada ucapan lidah, tetapi setiap gerakan, isyarat, ungkapan, celaan, tulisan atau gelaran yang berbaur hinaan. Mendengar ghibah dengan sikap kagum dan menyetujui apa yang dikatakannya, hukumnya sama dengan ghibah. Pahala amal kebaikan orang yang melakukan ghibah akan diberikan kepada orang yang menjadi sasaran ghibahnya. Islam mengharamkan dan melarang ghibah kerana ia boleh mengakibatkan putus ukhwah, rosak kasih sayang, timbul permusuhan, tersebar aib dan lahir kehinaan.
Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Seseorang hamba yang membicarakan sesuatu yang belum jelas baginya (hakikat dan akibatnya), akan dilempar ke neraka jahanam sejauh antara timur dan barat.”  (Riwayat Muslim)

Begitu juga orang yang berdusta pada tutur katanya walaupun dengan niat untuk berjenaka ditegah dan akan tergolong dalam golongan munafik
Rasulullah s.a.w bersabda : Celakalah orang yang berbicara lalu mengarang cerita dusta agar orang lain tertawa. Celakalah !
Huraian Hadith: 
i) Kelakar adalah perbuatan, kata-kata dan sebagainya yang dapat menggembirakan atau yang dapat menggelikan hati orang lain. Sinonimnya adalah jenaka, lawak dan gurau senda.
ii) Membuatkan orang lain senang hati adalah termasuk dalam amal kebajikan dan Rasulullah s.a.w juga selalu berjenaka dengan ahli keluarga dan para sahabat baginda.
iii) Namun begitu bergurau mempunyai adab-adab tertentu yang telah digariskan oleh Islam seperti:
a) Tidak menjadikan aspek agama sebagai bahan jenaka seperti mempersendakan sunnah Rasulullah s.a..w .
b) Gurauan tersebut bukan merupakan cacian atau cemuhan seperti memperlekehkan orang lain dengan menyebut kekurangannya.
c) Gurauan itu bukan ghibah (mengumpat) seperti memburukkan seseorang individu dengan niat hendak merendah-rendahkannya.
d) Tidak menjadikan jenaka dan gurauan itu sebagai kebiasaan.
e) Isi jenaka adalah benar dan tidak dibuat-buat.
f) Bersesuaian dengan masa, tempat dan orangnya kerana adalah tidak manis bergurau di waktu seseorang berada dalam kesedihan dan sebagainya.
g) Menjauhi jenaka yang membuatkan orang lain ketawa secara berlebihan (ketawa terbahak-bahak) kerana banyak ketawa akan memadamkan cahaya hati.
iv) Sesungguhnya Rasulullah s.a.w apabila ketawa baginda hanya menampakkan barisan gigi hadapannya sahaja, bukan ketawa yang berdekah-dekah, mengilai-ngilai atau terkekeh-kekeh dengan maksud bahawa selaku seorang muslim kita hendaklah sentiasa menjaga batas kesopanan dalam ertikata yang sepatutnya.
DUSTA ADALAH SIFAT ORANG MUNAFIK
Munafik berasal dari perkataan “nafaqa” yang bermaksud “terbelah dua” iaitu tidak solid dan tidak jujur dengan Islam. Pepatah melayu juga ada menyebut “talam dua muka” atau bermuka-muka yang bermaksud seseorang yang mendapat keuntungan daripada dua belah pihak yang berselisih. Bermuka dua itu memburukkan sesuatu pihak di hadapan pihak lain dan sebaliknya dengan alasan “nak hidup”.
Dalam Islam, Munafik adalah salah satu kategori atau golongan manusia yang diletakkan tarafnya lebih rendah daripada Muslim biasa. Terdapat 30 ciri orang-orang yang dikategorikan sebagai yang dapat disebut munafik melalui petikan hadis Rasulullah s.a.w. Di dalam kehidupan sehari-hari, kita kerap mendengar perkataan “munafik” diucapkan orang.
Di dalam Sahih Bukhari dan Muslim pula, Rasulullah bersabda:
“Tanda orang munafik ada tiga, salah satunya adalah jika berbicara dia dusta.”

BALASAN BAGI ORANG MUNAFIK
Allah (membalas) memperolok-olok dan membiarkan mereka meraba-raba dalam kesesatan mereka (yang melampaui batas itu). (Al-Baqarah:15)
Sesungguhnya orang-orang munafik itu ditempatkan pada tingkatan yang terkebawah sekali dari (lapisan-lapisan dalam) neraka dan engkau tidak sekali-kali akan mendapat sesiapa pun yang boleh menolong mereka. (An-Nisaa:145)
BERHATI-HATILAH DALAM BERMEDIA SOSIAL
Di dalam teknologi media yang serba canggih ini, ternyata memberi kemudahan kepada kita untuk menerima dan mencari sebarang maklumat dengan semuanya hanya di hujung jari sahaja. Ianya juga memberi kesan yang baik dan juga buruk kepada pengguna.
Kesan yang baik bagi seorang pelajar dapat mencari apa saja maklumat untuk menyempurnakan assignment atau tugasan pensyarah di website, blog, Wikipedia dll. Kesan yang buruk pula, ia menyebabkan pelajar menjadi malas merujuk kepada sumber yang asli iaitu kitab di perpustakaan atau mendekati pensyarah untuk meminta pandangan atau bertanya sebarang kemusykilan di dalam sesuatu bab.
Pesanan saya, berhati hatilah dalam menerima sesuatu berita dan menyampaikan kepada orang lain, selidiklah terlebih dahulu kesahihan sesuatu berita itu. Takut-takut kita tergolong dalam golongan munafik dan menyebarkan fitnah terhadap orang lain.
Wallahu A’alam.
Rujukan :
Al-Quranul Karim
Sahih Bukhari
Mukhtasar Minhajul Qosidin
Web Rasmi JAKIM

Ramadan Karim : Jom Audit Diri !

Salam Ramadan Karim buat semua. Sempena bulan Ramadan yang mulia ini, jom kita sama2 audit diri untuk melakukan perubahan diri kita ke arah yang lebih baik! Moga Ramadan kali ini memberi sepenuh penghayatan dan amalan kita pada Allah s.w.t.
Dari Abu Hurairah Radiyallahu anhu, ia berkata bahawasanya Rasulullahi Sollallahu ‘Aalyhi Wa Sallam bersabda :
إِذَا جَاءَ رَمَضَانُ، فُتِّحَتْ أَبْوَابُ الْجَنَّةِ وَغُلِّقَتْ أَبْوَابُ النَّارِ، وَصُفِّدَتِ الشَّيَاطِينُ
“ Apabila datang Bulan Ramadhan, maka pintu-pintu Syurga dibuka, pintu-pintu Neraka ditutup, dan syaitan-syaitan pun diikat “
[ Muttafaq alaih; Shahih Imam Al-Bukhari no.1898),
Sahih Imam Muslim no.1080) ]
Di bawah ini, antara contoh jadual amalan di bulan ramadan yang boleh kita sama-sama praktikkan :-)
checklist ramadhan 2013
*Kalau ada mana yang kurang boleh perbaiki dan tambahkan. “Fastabiqul Khairat” Jom berlumba-lumba ke arah kebaikan. Jangan lepaskan peluang untuk mengutip sebanyak peluang yang ada di bulan barakah ini. Moga setiap amalan kita diterima di sisiNYA. AllahummaAmin….