Ada orang takut gagal, takut miskin, takut jatuh sakit dan banyak lagi. Boleh jadi ketakutan itu memberi kesan positif atau sebaliknya. Contohnya orang yang takut gagal mungkin dia berusaha gigih atau langsung tidak mahu mencuba. Secara umumnya banyak perkara kita takuti termasuklah hantu jembalang walaupun kadangkala dalam sesetengah kes yang menjadi hantu bukanlah syaitan, tetapi manusia seperti kita.
Dalam pada itu, berapa ramai yang sejujurnya takut kepada Tuhan yakni Allah? Berapa ramai gerun kepada azab-Nya di akhirat kelak dan berusaha mengelakkan diri daripadanya? Berdasarkan al-Quran, kita diperintahkan takut kepada Allah seperti firman-Nya pada surah al-Maidah, ayat 44 yang bermaksud: “...oleh itu janganlah kamu takut kepada manusia tetapi hendaklah kamu takut kepada-Ku.” Allah yang Maha Berkuasa memang wajib ditakuti kerana melalui perasaan takut itulah dapat mengelakkan diri kita daripada melakukan kejahatan dan terjerumus ke lembah maksiat.
Firman-Nya dalam surah an-Nahl, ayat 50 bermaksud: “Mereka takut kepada Tuhan mereka, yang mengatasi mereka dengan kekuasaan-Nya serta mereka mengerjakan apa yang diperintahkan.” Orang yang hanya takut kepada hantu dan tidak takut dengan Tuhan mudah mengikut dorongan jahat nafsu. Dia berasa begitu seronok dibuai nafsu, malah langsung tidak terfikir kemurkaan dan balasan Tuhan.
Dalam surah Yusuf, ayat 53, diterangkan: “Dan tiadalah aku berani membersihkan diriku, sesungguhnya nafsu manusia itu sangat menyuruh melakukan kejahatan, kecuali orang yang telah diberi rahmat oleh Tuhanku...” Apabila ketakutan hanya kepada Tuhan, tentu orang terbabit tidak akan menurut hawa nafsu secara semberono, sebaliknya segala percakapan dan perbuatan diimbangi dengan petunjuk Tuhan. Jalan rabbani yang dilalui itu membolehkannya mendapat ganjaran istimewa iaitu syurga di akhirat kelak.
Firman-Nya dalam surah an-Naaziat, ayat 41 dan 42 bermaksud: “Adapun orang yang takutkan keadaan semasa ia berdiri di mahkamah Tuhannya serta dia menahan dirinya daripada menurut hawa nafsu. Maka sesungguhnya syurgalah tempat kediamannya.” Nafsu sebenarnya banyak membawa kerosakan seperti dikisahkan al-Quran mengenai Qabil: “Maka nafsu jahat (Qabil) mendorongnya membunuh saudaranya, lalu dia membunuhnya. Oleh itu menjadilah dia daripada orang yang rugi.” (Surah al-Maidah, ayat 30) Tiada benteng yang ampuh untuk mengawal nafsu melainkan rasa takut kepada Tuhan semata-mata. Andai seseorang itu menebal dengan sifat malu sekalipun, nafsu tetap menguasai dirinya. Hal ini kerana nafsu tidak mengenal erti malu untuk melakukan perkara yang bertentangan dengan kesetiaan dan kecintaan kepada Allah SWT. Kita boleh lihat banyak contoh di luar sana.
Oleh sebab itu, untuk mendidik nafsu kadangkala memerlukan sesuatu yang menyakitkan sama ada dengan perkataan mahupun perbuatan. Diceritakan dalam Kitab Nashaihul Ibad, mengenai hal seorang soleh. Pada satu hari dirinya (nafsunya) mengajak melakukan maksiat. Kemudian dia keluar dari rumahnya. Dia membuka baju, lalu meniarap dan berguling di padang pasir yang panas.
Pada dirinya dia berkata: “Rasakan olehmu, sebab api neraka jahanam lebih panas daripada padang pasir ini. Pada malam hari engkau menjadi bangkai dan siang hari engkau menjadi pemalas.” Ketakutan kepada Allah juga membuatkan kita tidak lupa diri dan tidak ujub iaitu bongkak atau kagum terhadap diri sendiri. Sifat ujub sangat buruk dan dimurkai Allah. Qarun yang dikurniakan harta melimpah-ruah adalah orang ujub seperti diceritakan al-Quran: “Qarun menjawab: Aku diberikan harta kekayaan ini hanyalah disebabkan pengetahuan dan kepandaian yang ada padaku..” Berhubung hal ini, kita perhatikan sabda Nabi SAW maksudnya: “Andai aku dengan Nabi Isa dihukum oleh Allah kerana apa yang dilakukan oleh kami berdua (sambil menghala dua jari) pasti kami diseksa dengan seksaan yang tidak pernah diseksakan kepada orang lain dan seluruh alam semesta.” Justeru, takutlah kepada Allah kerana ketakutan itu sahaja dapat menggelakkan kita daripada melakukan kejahatan sewenang-wenangnya dan bersuka ria dengan segala macam perkara yang melalaikan.
Imam al-Ghazali menjelaskan, individu yang takutkan azab Allah berusaha untuk mengurangkan ketawa, tetapi memperbanyakkan tangisan serta sentiasa mendekatkan dirinya kepada Allah SWT.
Dikisahkan Hasan RA pernah bertemu seorang pemuda yang sedang ketawa terbahak-bahak, lantas beliau bertanya: “Apakah kamu pernah berjalan di atas jambatan?” Pemuda itu menjawab: “Belum.” Beliau terus bertanya: “Tahukah kamu nanti, berjalan ke syurga atau ke neraka?” Pemuda itu menjawab: “Tidak tahu.” Ditanya lagi: “Jadi, kenapa kamu tertawa?” Selepas itu, pemuda terbabit tidak tertawa lagi.
*Penulis ialah Penolong Pengarang Rencana, Harian Metro
No comments:
Post a Comment